Parti talkinkan Umno dahulu kini telah ‘ditalkinkan’, kata Mohamad

Parti talkinkan Umno dahulu kini telah ‘ditalkinkan’, kata Mohamad

Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata Umno tidak terkubur walaupun berdepan pelbagai gelora dan badai politik.

PAU2025 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Mohamad Hasan berkata Umno berdepan ujian getir sejak kalah pada PRU 2018.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti itu terus bergerak ke depan walaupun ada pihak mahu mentalkinkan atau menguburkannya selepas kekalahan dialami pada pilihan raya umum 2018.

Berucap pada pembukaan konvensyen 80 Tahun Umno, Mohamad berkata kekalahan itu disifatkan saat paling getir dalam Umno dan berdepan cemuhan serta label negatif termasuk pihak mahu melihatnya berkubur.

“Tetapi ramai mahu mentalkinkan kita itu kini telah ‘ditalkinkan’ terlebih dahulu, malah ada yang mentalkinkan diri sendiri,” katanya tanpa menyebut nama parti mahu menguburkan Umno.

Namun, beliau dipercayai merujuk kepada Bersatu yang mahu menggantikan Umno sebagai platform perjuangan Umno.

Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin berdepan kemelut dalaman parti yang membawa kepada pemecatan bekas timbalannya Hamzah Zainudin, Februari lalu.

Ahli Parlimen Larut itu dilaporkan akan mengetuai sebuah parti baharu tetapi pada masa sama, Hamzah turut membayangkan platform bakal disertainya mungkin telah berada dalam Perikatan Nasional (PN).

Namun, Muhyiddin dilaporkan media berkata beliau sendiri akan menolak sekiranya Hamzah mahu menyertai PN sambil menegaskan hak menerima keahlian bukan datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya persetujuan parti komponen.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata walaupun melalui pelbagai gelora dan badai politik, Umno tidak terkubur sebaliknya terus bertahan dengan tekad untuk merawat serta memulihkan parti.

Katanya, parti itu berjaya kembali berdiri tegak hasil usaha kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan pimpinan sedia ada.

“Ada yang lari tengah malam. Ada yang ‘bakar kelambu’. Tetapi tidak mengapalah. Itulah lumrah alam. Bila pokok condong, semua lari,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan parti itu tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia sejarah, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan melalui prestasi, kejujuran dan pembaharuan nyata bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Berhenti menjual sejarah kerana orang Melayu inginkan keyakinan terhadap masa depan yang boleh Umno tawarkan, bukan rintihan emosi, tagihan simpati atau balasan hutang budi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.