Kassim Ahmad mahu pendakwaan ditarik balik

Kassim Ahmad mahu pendakwaan ditarik balik

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan dan pendakwaan terhadap ahli akademik itu sebagai tidak sah

rosli-kassim

KUALA LUMPUR:
Peguambela Kassim Ahmad akan meminta Ketua Pendakwa Syarie untuk menarik balik tiga pendakwaan terhadap anak guamnya di Mahkamah Syariah.

Peguam Rosli Dahlan memaklumkan beliau akan meminta berbuat demikian ketika sesi sebutan seterusnya di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 18 Januari ini.

“Pada bulan lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan dan pendakwaan terhadap Kassim sebagai tidak sah. Tiada penangguhan pendakwaan diberikan oleh Mahkamah Rayuan.

“Penasihat Kanan Undang-undang Persekutuan juga menyokong agar Ketua Pendakwa Syarie menarik balik pendakwaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan yang belum menerima apa-apa notis rayuan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mencabar keputusan Mahkkamah Rayuan tersebut.

Jawi ada tempoh sehingga 22 Januari untuk mencabarnya.

Pada 21 Disember 2015, Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan Jawi terhadap Kassim yang didakwa tidak mematuhi yang dikeluarkan Majlis Agama Wilayah Persekutuan pada 2014 sebagai tidak sah.

Panel tiga hakim juga sebulat suara memutuskan fatwa oleh jabatan itu hanya terpakai kepada orang Islam yang tinggal di Wilayah Persekutuan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.