
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff yang memuji Mustapa itu berkata, beliau sangat kagum dengan pendirian menteri berkenaan walaupun pada hakikatnya menerima kritikan daripada banyak pihak.
“Tentang pertemuan semalam, satu yang dapat saya rumuskan, Tok Pa (Mustapa) seorang pemimpin yang rajin, komited pada tugas, dan paling penting beliau tahu subject matter (perkara berkait) yang beliau perjuangkan,” tulisnya di Facebook.
Agus yang juga seorang penganalisis politik memberi pandangannya itu selepas mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu TPPA di rumah Mustapa.
Katanya, dalam pertemuan itu, Agus menjelaskan telah diberi penerangan dan peluang untuk menanyakan apa sahaja mengenai TPPA dan beliau sangat gembira apabila mendapat penjelasan yang baik daripada Mustapa.
“Seterusnya Tok Pa bertanya pendapat saya tentang TPPA? Saya tidak menjawabnya langsung, tetapi menimbulkan beberapa keraguan saya tentang TPPA.
“Antaranya ialah tentang harga barangan, peluang pekerjaan, Investor State Dispute Settlement (ISDS), hak bumiputera, hak negeri dan lainnya. Beliau memberi jawapan yang mantap kepada setiap persoalan yang saya timbulkan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Agus berkata, Mustapa berjanji akan turun untuk berjumpa dengan rakyat bagi menerangkan mengenai TPPA.
Katanya, sekiranya beliau turun sendiri, ia dapat menjelaskan keraguan rakyat dan mereka lebih memahami tentang pelaksanaan TPPA itu.