Keluarkan lesen khas untuk pelajar sekolah – Rani Kulop

Keluarkan lesen khas untuk pelajar sekolah – Rani Kulop

Lesen motosikal itu hanya boleh digunakan untuk pergi ke sekolah dan aktiviti-aktiviti sekolah pada waktu petang.

rani-kulup
PETALING JAYA : Aktivis dan selebriti media sosial, Abdul Rani Kulop Abdullah mencadangkan kerajaan mengeluarkan lesen motorsikal khas kepada pelajar sekolah untuk mengurangkan kes kemalangan.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama untuk mengeluarkan lesen itu kepada pelajar sekolah berumur 12 hingga 17 tahun.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu menegaskan, pelajar perlu melalui ujian jalan raya sebelum diberikan lesen khas itu.

Katanya, pelajar yang lulus juga perlu menggunakan pelekat khas ‘Awas pelajar sedang memandu’.

“Pelajar ini hanya boleh menunggang motosikal untuk ke sekolah dan aktiviti-aktiviti sekolah sahaja.

“Penggunaan motosikal juga perlu ada jarak dari rumah ke sekolah. Kalau lebih 50km, tidak perlulah naik motosikal. Ia hanya untuk yang dekat-dekat dengan sekolah sahaja,” katanya kepada FMT.

Abdul Rani atau atau ‘ayah’ berkata, cadangan itu kerana kes kemalangan melibatkan pelajar sekolah menunggang motosikal semakin kerap berlaku.

“Ini untuk memudahkan cara. Kalau ada operasi pada awal pagi, budak-budak nak pergi sekolah macam mana?

“Budak-budak ini bila nampak polis mereka cabut lari. Bila dia cabut lari, keadaan akan menjadi kelam-kabut..menjadikan mereka bertembung sesama sendiri sebab takut polis,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.