Memetik sumber daripada laporan akhbar Utusan Malaysia, Ahmad Bashah dikatakan mendapat sokongan padu daripada pemimpin UMNO dan sebahagian besar wakil rakyat negeri itu untuk dilantik sebagai Menteri Besar baharu.
“Setakat ini boleh dikatakan sah, Ahmad Bashah akan menggantikan Mukhriz tetapi segala-galanya bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti. Tetapi apa yang pasti pemilihan Ahmad Bashah mendapat sokongan hampir seluruh pemimpin UMNO Kedah.
“Tambahan pula, difahamkan beberapa pemimpin meletakkan syarat, kalau Mukhriz mahu ‘diturunkan’, beliau harus digantikan oleh Ahmad Bashah bukan calon lain,” lapor akhbar itu.
Menurut laporan itu, perlantikan Ahmad Bashah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu akan dilakukan selewat-lewatnya akhir bulan ini.
Sumber itu turut mendakwa Ahmad Bashah merupakan calon paling layak menggantikan Mukhriz kerana kedudukannya sebagai pemimpin paling kanan dan pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah sebelum ia diambil alih oleh Mukhriz.
“Memang ada calon-calon lain disebut untuk menggantikan Mukhriz tetapi dari segi kelayakan, pengalaman dan hubungan di peringkat akar umbi, Ahmad Bashah dilihat ada kelebihan,” katanya.
Kelmarin, UMNO Kedah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar menggugurkan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri.
Mereka turut merayu Najib selaku Presiden UMNO membuat perubahan kepada kepimpinan tertinggi parti itu di peringat negeri.
