Vape tidak diharamkan di Pulau Pinang

Vape tidak diharamkan di Pulau Pinang

Selepas dialog terbuka dengan pengusaha vape, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan vape dan masih dibenarkan menjalankan aktiviti tersebut.

Afif
GEORGE TOWN: Kaedah pemantauan penggunaan vape masih diusahakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, selepas dua minggu mengadakan dialog terbuka dengan pengusaha vape, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan dan oleh itu, mereka dibenarkan menjalankan aktiviti masing-masing.

“Bagaimanapun kerajaan negeri akan memastikan keputusan yang akan dibuat nanti adalah adil bagi semua pihak khususnya pengusaha-pengusaha produk dan bahan rokok elektronik atau vape,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pengusaha-pengusaha vape di Pulau Pinang malam tadi, lapor BERNAMA.

Antara yang hadir pada sesi dialog itu ialah Pengerusi Penguasaha Vape Pulau Pinang (PPVPP), Muhammad Hafidz Adnan, Presiden Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Allan Foo dan lebih 30 pengusaha vape negeri.

Pada 4 Dis lalu, Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan penggunaan rokok elektronik atau vape serta sisha difatwakan sebagai haram.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula telah berkali-kali meminta kerajaan negeri supaya mengharamkan vape serta-merta kerana berdasarkan tinjauan, vape mempengaruhi pelajar sekolah untuk merokok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.