Saya tidak akan minta maaf! – Najib

Saya tidak akan minta maaf! – Najib

Apa gunanya kebebasan sivil jika ia mendedahkan negara kepada serangan pengganas, soal Najib.

Najib

KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan meminta maaf kerana mewujudkan undang-undang kontroversi seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA, Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara atau SMATA, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menyifatkan penggunaan kuasa sebegitu luas sebagai langkah yang perlu, Najib bertegas kebebasan sivil yang diuar-uarkan pengkritik pentadbirannya menjadi tidak bermakna jika negara terdedah kepada serangan pengganas.

“Tidak salah untuk bercakap tentang keseimbangan antara keselamatan negara dan kebebasan sivil. Tetapi tiada kebebasan sivil di bawah Daesh. Cara terbaik untuk menegakkan kebebasan sivil adalah dengan memastikan keselamatan negara.

“Saya tidak akan meminta maaf kerana mengambil setiap langkah untuk menjaga keselamatan (negara). Kita tidak akan menunggu insiden (outrage) berlaku sebelum mengambil langkah yang perlu,” katanya lagi.

Najib berkata demikian dalam ucaptama perasmian Persidangan Antarabangsa tentang Deredikalisasi dan Menentang Ekstremisme di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan Malaysia tidak akan menjadi seperti negara-negara lain yang tidak mempunyai undang-undang yang cukup untuk menangani keganasan.

“Ada beberapa negara yang menyatakan kekecewaan kerana tidak memiliki undang-undang untuk menanganinya secara segera,” katanya tanpa menyatakan negara yang dimaksudkannya itu.

“Saya tidak akan membenarkan Malaysia menjadi sebuah negara yang mudah terdedah untuk ditembusi pengganas,” katanya lagi.

Persidangan ini disertai negara-negara Asean dan negara jemputan lain, antaranya Amerika Syarikat, China dan Arab Saudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.