Bapa murid SJKC perjelas isu baling buku

Bapa murid SJKC perjelas isu baling buku

Kejadian pernah diadukan kepada guru besar namun tidak diambil tindakan kerana enggan campur tangan

baling-buku

PETALING JAYA:
Bapa kepada seorang murid Cina yang didakwa membaling buku ke arah seorang guru Melayu yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee di Mersing, Johor tampil menjelaskan perkara sebenar.

Lelaki terbabit, Ng See Hoe ketika menceritakan kejadian itu berkata, ia sebenarnya berpunca ekoran komunikasi yang kurang baik.

Katanya, dia bertindak membaling buku guru terbabit selepas guru itu melemparkan buku kepunyaan anaknya.

“Saya pernah mengadukan perkara itu kepada guru besar di sekolah berkenaan dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah tetapi ia tidak berhasil.

“Saya berharap pelbagai dakwaan dan fitnah dalam internet dapat dihentikan. Jika isu ini terus dibesar-besarkan, ia akan memberi kesan kepada sekolah, cikgu dan murid,” katanya lapor akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily.

Sementara itu, lembaga pengelola sekolah memberikan maklum balas terhadap isu berkenaan dengan memberitahu, pernah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan insiden berkenaan.

Katanya, bapa pelajar terbabit memang ada mengadu kepada guru besar, namun dimaklumkan bahawa guru besar enggan campur tangan kerana perkara sama pernah diadukan oleh guru itu.

Bapa pelajar itu juga pernah berkomunikasi dengan cikgu berkenaan namun, disebabkan komunikasi yang kurang baik menyebabkan guru berkenaan menabur semua barang di atas meja ke lantai dan cikgu itu kemudiannya melaporkan kepada polis, katanya.

Bagaimanapun, laporan polis yang dibuat oleh guru berkenaan telah tersebar menyebabkan insiden yang berlaku itu secara tiba-tiba dianggap sebagai isu perkauman.

Lembaga pengelola sekolah juga meminta pihak yang tidak tahu mengenai kejadian sebenar supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.