Adakah harga getah akan naik kalau Mukhriz diganti?

Adakah harga getah akan naik kalau Mukhriz diganti?

Apakah perlunya Mukhriz diganti tatkala negara masih bergelut dengan kejatuhan nilai Ringgit dan juga kontroversi syarikat milik Kerajaan Persekutuan yang masih belum selesai.

mazfuf,getah

PETALING JAYA:
Tindakan menukar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat Kedah sering mempersoalkan apakah perlunya Mukhriz diganti tatkala negara masih bergelut dengan kejatuhan nilai Ringgit dan juga kontroversi 1MDB yang masih belum selesai.

“Apakah menggulingkan Mukhriz sebagai Menteri Besar akan mendatangkan manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Adakah dengan menyempurnakan agenda politik dendam Putrajaya terhadap Mukhriz, ekonomi Malaysia akan pulih, nilai mata wang Malaysia akan pulih dan kukuh, pendapatan negara akan bertambah?

“Pulihkah keyakinan pelabur terhadap Malaysia dengan buang Mukhriz. Apakah harga getah dan kelapa sawit akan meningkat. Apakah dengan gugurnya Mukhriz sebagai MB akan selesaikan segala masalah beban kos sara hidup rakyat?” soalnya.

Jelas Ketua Whip PAS itu lagi, beliau percaya rakyat Kedah mempunyai hati nurani dan akal budi yang tinggi dan bukannya seperti lembu dicucuk hidung.

“Gerakan Komplot yang didalangi Putrajaya untuk menggulingkan Mukhriz sebagai Menteri Besar telah menggangu kedamaian dan keharmonian politik Kedah.

“Kedah ketika ini memperlihatkan politik matang yang mempunyai aliran sederhana dalam perbezaan ideologi dan pendapat tetapi masih boleh bertolak ansur secara matang dan demokratik dalam mengurus perbezaan,” ujar beliau lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.