Setahun terpenjara, Anwar masih calon PM Pembangkang

Setahun terpenjara, Anwar masih calon PM Pembangkang

Lebih seribu penyokong banjiri hadapan Penjara Sungai Buloh tuntut Anwar bebas.

anwar-ibrahim

SUNGAI BULOH :
Setelah terkuburnya Pakatan Rakyat, Pembangkang Malaysia yang masih mencari kesatuan mereka kekal mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah setahun di belakang tirai besi untuk menjadi perdana menteri.

Kawasan hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh dihiasi puluhan bendera PKR, kain rentang dan poster menuntut pembebasan Anwar dengan gema keramat Reformasi tatkala Pakatan Harapan senada di pentas sama.

Tidak banyak berubah dengan format ceramah umum sejak panggilan Reformasi Anwar di ibu kota hampir 16 tahun lalu, lebih seribu penyokong Anwar berhimpun mendengar pidato pimpinan mereka selama lebih tiga jam.

Kali ini tanpa kehadiran PAS, pengganti mereka dalam Pakatan Harapan, Amanah diwakili rakan karib PKR sejak dahulu seperti Dr Hatta Ramli, Annuar Tahir dan Khalid Samad.

DAP sebaliknya hanya menampilkan Timbalan Setiausaha Selangor Ng Suee Lim sebagai penceramah utama dan sasterawan negara Datuk A. Samad Said yang membacakan sajak barunya khas didedikasikan untuk Anwar.

Walaupun hadirin tampak sedikit, ia merupakan himpunan terbesar di hadapan Penjara Sungai Buloh setakat ini, memberi sinar kepada kempen ‘Bebas Anwar’ yang menyamakan bekas timbalan perdana menteri itu dengan pemimpin tersohor yang pernah dipenjarakan seperti Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penceramah terakhir selepas 28 yang lain berpidato dan membuat persembahan sekali lagi merayu agar penyokong mereka terus berjuang bersama Pakatan dan tidak berputus asa menentang Umno dan Barisan Nasional.

“Kalau tak boleh angkat tangan kanan, kita angkat tangan kiri kita.

“Sedaya upaya kita selagi hayat dikandung badan kita teruskan perjuangan,” kata beliau dengan nada sayu, rumusan tema program malam tadi.

Namun pidato terbaik malam tadi adalah dari Presiden Amanah Mohamad Sabu yang tidak mengikut ‘format’ seperti penceramah lain dengan ‘meminta maaf’ kepada hadirin kerana gagal menjatuhkan kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Sampai bila kita nak jadi begini, usia pun nak dekat 60 tahun, belum lagi berubah rakyat Malaysia.

“Ayuh Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, semua kaum tanya diri kita. Apakah kita pejuang atau bermain slogan untuk menyedapkan saudara kita di dalam sana. Cis! Mari kita bangun!” jerit beliau sebelum mencampakkan mikrofon di atas pentas, mengejutkan segenap hadirin dan pengacara majlis malam tadi.

Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali walaupun tidak dapat hadir telah menitipkan kata-kata semangat dari Masjidil Haram, Tanah Suci Mekah.

Bercakap menerusi rakaman Skype tatkala beliau melakukan Umrah itu, Azmin mahu rakyat tidak melupakan pergorbanan yang dilakukan oleh Anwar terhadap negara.

“Saya berkesempatan untuk berdoa di Raudhah dan Masjidil Haram untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat Malaysia di mana pun anda berada jangan sekali-sekali melupakan pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau menerusi rakaman Skype ihsan media rasmi negeri, TV Selangor.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun sejak tahun lalu atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.