Jangan panik beli beras, bekalan cukup hingga hujung tahun, kata Mat Sabu

Jangan panik beli beras, bekalan cukup hingga hujung tahun, kata Mat Sabu

Menteri Mohamad Sabu berkata kestabilan pasaran hanya dapat dikekalkan jika pengguna terus membeli seperti biasa, mengikut keperluan harian.

Beras Import-1
Mohamad Sabu beri jaminan sistem stok penimbal beras negara berada dalam keadaan terkawal dan diurus secara berterusan.
PETALING JAYA:
Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan beras secara berlebihan susulan jaminan kerajaan bahawa bekalan semasa mencukupi sehingga hujung tahun.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kestabilan pasaran hanya dapat dikekalkan jika pengguna terus membeli seperti biasa, mengikut keperluan harian.

Beliau memberi contoh, pengguna yang lazimnya membeli satu kampit beras 10kg sebulan tidak sepatutnya membeli dalam jumlah berlipat kali ganda kerana tindakan itu boleh menjejaskan bekalan di pasaran.

Katanya, pembelian panik boleh menyebabkan stok yang sepatutnya mencukupi untuk tempoh lebih lama habis dalam masa singkat, sekali gus mendorong kenaikan harga.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Stok yang cukup boleh jadi tidak cukup jika berlaku pembelian berlebihan. Apabila bekalan berkurang, harga akan naik dan golongan berpendapatan rendah paling terkesan.

“Sebab itu saya tekankan, jangan panik dan jangan simpan stok berlebihan. Kekal tenang dan mula berjimat,” katanya menerusi Facebook.

Mohamad berkata pengguna perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi memastikan bekalan sedia ada dapat bertahan lebih lama dan dinikmati secara adil oleh semua pihak.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan sistem stok penimbal beras negara berada dalam keadaan terkawal dan diurus secara berterusan.

Menurutnya, setiap pengeluaran stok akan diganti semula dalam tempoh terdekat bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

“Jika kita keluarkan 1,000 tan metrik beras hari ini, jumlah sama akan diganti semula dalam masa terdekat. Sistem ini memang direka untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya terus bertenang, membeli mengikut keperluan dan mengelakkan tindakan yang boleh mengganggu kestabilan pasaran.

“Jika semua memainkan peranan, situasi ini boleh ditangani dengan baik dan terkawal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.