Amin Beyond pernah ramal hayatnya berakhir akibat ditembak

amin-beyon

PETALING JAYA: Pengusaha restoran nasi kandar, Syed Amin Jainul Abidin, 46, yang mati ditembak awal pagi tadi, pernah menerima ugutan akan mati ditembak ketika berada di dalam kereta.

Pengusaha restoran nasi kandar dan pusat cucian kereta di Pulau Pinang itu dalam status Facebook pada 4 Dis tahun lalu, mendedahkan bahawa dia pernah menerima ugutan sedemikian.

Dalam status Facebook sama, Syed Amin meramalkan nyawanya akan hilang akibat tembakan dari jarak dekat dengan meletakkan dua gambar mangsa tembakan jarak dekat yang mati dalam kereta.

Dia turut menegaskan bahawa dia tidak disukai kerana berada di jalan lurus dan tidak takut mati untuk itu serta berserah kepada Allah SWT.

“Satu hari nanti akan jadi pada aku sebab aku pernah terima ugutan begini. Sebab bila kita jalan lurus manusia tak suka. Tapi aku tak takut mati. Jangan curi makan. Mai berdepan. Ajal maut bukan di kalangan mu. Di tangan Allah SWT,” katanya.

Syed Amin maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam satu kejadian di Jalan Datuk Keramat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Syed Amin mati ditempat kejadian selepas terkena lima das tembakan di bahagian kepala, badan dan tangan.

Mangsa yang memandu kereta jenis Mercedes dikatakan berhenti di hadapan sebuah kedai selepas menyedari dia diekori dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.

Salah seorang suspek dikatakan turun dari motosikal dan melepaskan enam das tembakan ke arah mangsa