Wacana ilmu Asri, Zamihan batal – Shahidan

Wacana ilmu Asri, Zamihan batal – Shahidan

Shahidan Kassim memohon maaf dan menggantikan program wacana itu dengan program berskala kecil dan tertutup.

shahidan-kassim.dr-maza
PETALING JAYA: Wacana ilmu antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Zamihan Mat Zain yang sepatutnya pada 17 Feb (esok) dibatalkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat pengumuman itu di Facebooknya tanpa mahu menjelaskan punca pembatalan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, diskusi itu akan digantikan dengan program berskala kecil di mana kedua-dua pihak telahpun menyatakan persetujuan.

“Tanpa menceritakan apa yang berlaku maka saya ingin umumkan bahawa wacana tersebut dibatalkan. Semua jemputan dan lain-lain urusan tidak diteruskan, saya mohon maaf diatas apa yang berlaku dan menyeru kepada semua pihak agar tidak membiarkan apa-apa isu berlarutan dengan persepsi tetapi paparkanlah fakta serta merta untuk mengelakkan buruk sangka dan fitnah dari berleluasa.

“Namun pada tarikh yang sama dan ahli panel yang sama akan diadakan diskusi bersekala kecil dan tertutup. Datuk Dr Mohd Asri telah bersetuju. Wakil ustaz Zamihan juga bersetuju,” katanya.

Shahidan sekali lagi menjelaskan bahawa cadangan untuk meletakkan Asri dan Zamihan dalam satu pentas bukannya debat sebaliknya wacana ilmu.

Terdahulu, Asri berkata beliau bersetuju program berskala kecil itu diadakan dengan syarat ia disiarkan secara langsung menerusi internet atau livestreaming.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.