Zamihan berkata, Asri tetap melemparkan pelbagai tuduhan terhadap beliau walaupun kedua-duanya sebelum ini bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu debat antara mereka.
Kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menyuarakan rasa terkilan dan berpendapat Asri sepatutnya bersifat tawaduk serta menepati janji yang dipersetujui sebelum ini.
“Apa dosa saya sehingga saya dihukum selepas berwacana ilmiah keesokannya? Apakah kerana kesanggupan saya untuk menyertai program wacana itu demi mempertahankan akidah ASWAJA, maka saya dihukum?
“Atau kerana mungkin khidmat saya di sektor keselamatan menjadikan pihak tertentu ‘kepanasan’ apabila saya mengulas isu militan IS (kumpulan militan Negara Islam) dan kaitannya dengan Salafi Jihadi? Mengapa ada Menteri JPM yang ‘melompat’?” soalnya menerus kenyataan hari ini.
Zamihan turut tidak menolak kemungkinan kritikan pedasnya terhadap fahaman Salafi Wahabi menyebabkan beliau diserang daripada pelbagai sudut.
“Sebenarnya Mufti Perlis telah menuduh saya berfahaman Syiah semenjak tahun 2001 lagi tanpa sebarang bukti yang sahih. Saya sudah cukup lama bersabar dan terus bersabar dengan karenahnya hingga kini.
“Apakah menjadi satu kesalahan bagi saya untuk membela maruah diri daripada fitnah berterusan daripada seorang Mufti? Apakah menjadi kesalahan bagi saya untuk tampil memperbetulkan kembali fahaman kontroversi agama yang dicetuskan Mufti siber itu. Jika ya, ingatlah wahai para pembuli dan penzalim, anda sesekali takkan terlepas di akhirat,” katanya.
Sehubungan itu, Zamihan berkata, beliau tidak akan tunduk kepada golongan Wahabi, Syiah, liberalisme agama mahupun ajaran sesat atau ekstremisme agama di negara ini.
