Timbalan Presiden UMNO itu berkata, apa yang dinyatakan oleh Kit Siang itu adalah hanya merupakan pandangan peribadi dirinya.
“Saya tidak pernah direkrut oleh sesiapapun untuk menegakkan kebenaran. Apa yang saya suarakan selama ini adalah lahir daripada kesedaran saya sendiri mengenai nasib yang menimpa rakyat dan negara.
“Saya amat memahami perasaan rakyat yang bimbang dengan apa yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya pelbagai krisis yang melanda negara ekoran masalah kepimpinan Perdana Menteri berterusan. Kerana itulah saya mengambil pendirian untuk bersuara,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya lewat malam tadi.
Sabtu lalu ketika berucap di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Johor, Kit Siang dilaporkan memuji Muhyiddin kerana menuntut kebenaran tentang isu negara dan berjanji Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan Muhyiddin.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dalam masa yang sama turut menafikan pernah mengeluarkan kenyataan untuk menumbangkan UMNO seperti yang didakwa beberapa portal atas talian ekoran kenyataan Kit Siang.
“Yang menjadi isu ialah kepimpinan Perdana Menteri, bukan UMNO.
“Saya percaya masalah kepimpinan Perdana Menteri yang dikaitkan dengan dakwaan penglibatan beliau dalam beberapa skandal kewangan negara dikongsi oleh sebahagian besar rakyat di negara ini melampaui batas politik, ideologi atau kaum,” tegasnya.
