MB, Exco tidak terlibat penganugerahan balak

MB, Exco tidak terlibat penganugerahan balak

JPNS juga memaklumkan kedua syarikat terlibat membuktikan keupayaan melaksanakan projek berkenaan.

azmin

PETALING JAYA:
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menegaskan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses penilaian terhadap permohonan penebangan dua kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Beliau merujuk kepada penganugerahan hak pembalakan HSK bagi membuka laluan kepada projek jajaran talian penghantaran elektrik 275/132 dari PMU Mahkota Cheras ke PMU Mahkota Cheras Hartamas, dan talian penghantaran elektrik 275KV (1,000 MVA) PMU Bukit Tarek ke PMU Chubadak (ubahan talian).

Sebelum ini, aktivis PKR, Badrul Hisham Shaharin lantang menyerang Azmin dan mendakwa memiliki dua dokumen rahsia MMKN yang menunjukkan penganugerahan dua projek itu tidak dijalankan melalui tender terbuka.

Menjawab dakwaan itu, Pengarah Perhutanan Dr Mohd Puat Dahalan berkata, pertimbangan permohonan pengeluaran hasil hutan dikendalikan pihaknya, termasuk mengemukan cadangan berkisarnya berdasarkan peraturan sedia-ada dan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 bagi menjamin proses penilaian yang telus dan terbuka.

“Penilaian juga mengambil kira kriteria seperti perakuan pendaftaran syarikat yang sah, berdaftar dengan Jabatan Perhutanan sebagai kontraktor pembalakan serta rekod pengalaman.

“Selain itu, syarat tambahan seperti semua pokok yang bersaiz komersil perlu dibuat “timber tagging” dan “harvesting plan” bagi kawasan yang terlibat juga perlu disediakan sebelum pengeluaran hasil hutan dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima FMT.

Malah, katanya lagi, Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri turut melibatkan pelbagai agensi teknikal bagi membantu pihak berkuasa membuat keputusan.

“JPNS menegaskan bahawa Dato’ Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses membuat penilaian ke atas mana mana permohonan yang diterima oleh JPNS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, status kerja pengeluaran balak dan jaras di HSK melibatkan projek jajaran talian dari PMU Mahkota Cheras ke PMU Mahkota Cheras Hartamas mencapai “100% kemajuan”, manakala di projek talian dari PMU Bukit Tarek ke PMU Chubadak pula “hampir 100% kemajuan”.

“Keadaan mutu kerja sangat memuaskan dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Syarikat-syarikat yang dilantik membuktikan keupayaan dalam melaksanakan kerja pembersihan dan pengeluaran hasil hutan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.