HSR: Bangunkan tanah, bukan jual!

HSR: Bangunkan tanah, bukan jual!

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong mahu penduduk mengambil peluang membangunkan tanah dengan mengusahakan perniagaan, sekali gus menjana ekonomi tempatan.

Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR)

PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad, menggesa penduduk sepanjang jajaran projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) tidak menjual tanah mereka.

Sebaliknya, Ruhanie mahu penduduk terbabit mengambil peluang membangunkan tanah dengan mengusahakan perniagaan, sekali gus menjana ekonomi tempatan.

“Pemilik tanah kena berfikir secara strategik untuk masa depan. Jangan mudah terpengaruh untuk menjual harta demi keuntungan sekelip mata. Sebaliknya bersama-sama bangunkannya,” katanya ketika dihubungi FMT di sini, semalam.

Pada masa sama, Ruhanie turut menyuarakan kebimbangan akan wujudnya penduduk tempatan di sepanjang jajaran HSR yang sanggup menjadi tunggangan pelabur asing dengan menjadi broker untuk membeli tanah di sana.

“Kalau projek ini dijalankan nanti, nilai tanah di sekitarnya (sepanjang jajaran) akan meningkat. Janganlah ada penduduk tempatan yang sanggup menjadi broker untuk beli tanah daripada penduduk tempatan.

Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi PERKASA itu mengulas kenyataan Presiden Institut Ejen-ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Erick Kho yang dilaporkan akhbar Nanyang Siang Pau 22 Februari lalu, bahawa pelabur dari Singapura dan China mengintai tanah di sepanjang jajaran HSR.

Selain perjalanan HSR terus antara Kuala Lumpur-Singapura, projek ini juga melibatkan hentian di Nusajaya, Muar, Batu Pahat, Ayer Keroh dan Seremban, namun lokasi hentian masih dalam perancangan.

Tinjauan FMT sebelum ini mendapati, 3 daripada sepuluh penduduk sanggup menjual tanah mereka kepada pelabur asing.

SEmentara itu, Ruhanie berkata, kerajaan harus menetapkan stesen-stesen hentian HSR di kawasan yang belum membangun.

“Projek ini akan menjana pertumbuhan. Jadi lebih jika laluan dan hentiannya dibina di kawasan yang belum membangun. Misalnya untuk Muar, elok dibuat di Pagoh atau Bakri, bukan di bandar,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.