Jabatan Peguam Negara tolak rayuan Rahim Thamby Chik

Jabatan Peguam Negara tolak rayuan Rahim Thamby Chik

Mahkamah Sesyen menetapkan 19 April bagi sebutan semula kes bekas Ketua Menteri Melaka yang didakwa menghasut.

Abdul-Rahim_selangor_law_600

SHAH ALAM:
Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik untuk menggugurkan kesnya yang didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu memfailkan permohonan itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Disember tahun lalu dengan alasan beliau tiada niat untuk menghasut

Sehubungan itu, Hakim Makkamah Sesyen Slamat Yahya, hari ini, menetapkan 19 April bagi sebutan semula kes berkenaan.

Abdul Rahim didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebooknya Rahim TambyChik di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada kira-kira 8 pagi, 25 September lepas.

Abdul Rahim turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan akaun Facebook miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.