Membonceng motor bukan muhrim boleh dikenakan tindakan

Membonceng motor bukan muhrim boleh dikenakan tindakan

Cadangan kerajaan Kelantan itu bagi mengawal anak-anak muda yang bebas berkeliaran khasnya di kawasan taman atau di tepi pantai pada waktu senja.

yaakod,Membonceng-motor-bukan-muhrim

KOTA BHARU:
Kerajaan PAS Kelantan akan meminda satu undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap anak muda yang berkeliaran pada waktu maghrib dan membonceng motosikal dengan bukan muhrim.

Transformasi undang-undang yang bakal dipinda itu akan dilakukan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Kelantan bagi mengawal gejala sosial kalangan anak-anak muda.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, bagaimanapun tidak menyatakan bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang ditahan kerana berkeliaran dan membonceng motosikal dengan bukan muhrim pada waktu maghrib sama ada di taman atau tepi pantai.

Sehubungan itu, satu kajian akan dijalankan bagi meminda Undang-Undang Kecil Taman Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986, selaras usaha mentransformasi peraturan berkenaan.

“Walaupun gejala sosial di negeri ini tidak membimbangkan, usaha perlu dibuat agar ia dapat dibendung lebih awal,” katanya seperti yang dilaporkan Harakah Daily.

Cadangan pindaan undang-undang itu, katanya, adalah selaras dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) pada peringkat PBT di seluruh majlis daerah tahun ini.

Sebelum ini, hanya di MPKB-BRI sahaja mempunyai JPI, tetapi mulai tahun ini ia diperluaskan ke seluruh PBT di Kelantan.

Ahmad berkata, JPI diharap dapat membuat kajian berkaitan undang-undang kecil tersebut bagi menangani gejala anak muda melepak pada waktu Maghrib.

“Hasrat kerajaan negeri supaya dengan undang-undang itu dapat mengawal anak-anak muda yang bebas berkeliaran khasnya di kawasan taman atau di tepi pantai.

“Membonceng motosikal bukan dengan muhrim sering berlaku, ini yang kita nak kawal. Trend sekarang mereka suka membonceng, bebas ke sana ke mari dan ini amat tidak baik khususnya di sisi Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.