Muhyiddin tidak akan tinggalkan UMNO

Muhyiddin tidak akan tinggalkan UMNO

Beliau tidak mahu menghampakan banyak pihak yang meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk membuat perubahan kepada pentadbiran negara dan parti.

Muhyiddin-UMNo

PETALING JAYA:
Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak akan tinggalkan UMNO kerana parti itu tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap dirinya dan juga negara.

Sebaliknya, Muhyiddin menyatakan pihak yang bersalah adalah orang yang merosakkan UMNO dan disebabkan itu beliau masih kekal di dalam UMNO.

“Saya dipilih oleh Bahagian Pagoh berkali kali tanpa bertanding. Tidak mungkin saya tinggalkan UMNO kerana ramai meletakkan harapan pada saya. UMNO tidak bersalah. Yang bersalah ialah orang yang merosakkan UMNO,” ujarnya dalam sidang media, hari ini.

Jelas Timbalan Presiden UMNO yang digantung itu, beliau sedar akan kehilangan hak untuk bersuara sekiranya mengikuti jejak Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar dari parti Melayu.

“Kalau saya keluar parti, saya hilang hak untuk berkata-kata. Biar saya berada di dalam parti kerana saya punya hak sebagai ahli parti untuk menegur siapa sahaja yang melakukan kesalahan.

“Adalah menjadi hak Tun Mahathir untuk keluar. Saya hormati keputusan beliau,” kata beliau lagi.

Sebelum itu, Muhyiddin menyatakan beliau akan terus kekal bersama UMNO, memandangkan telah berada di dalam parti itu sejak tahun 1970an sekaligus menafikan kekal di dalam UMNO disebabkan Najib.

“Saya akan terus kekal dalam UMNO. Saya telah menjadi ahli UMNO pada tahun 70an. Saya tidak jadi ahli kerana sesiapa. Jauh sekali jadi ahli kerana Najib.

“Parti ini baik, kerana nak perjuangkan agama, bangsa dan negara. Saya tidak fikir keputusan sertai parti ini adalah kesilapan besar. UMNO tidak bersalah dalam hal ini.

“Ramai berpendapat saya wajar kekal dalam UMNO. Atas dasar prinsip saya nak bela rakyat, menentang kemungkaran dan menegakkan yang hak, maka itulah ramai menyokong saya. Tidak kira bangsa dan agama,” kata beliau lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.