
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, ulama sewajarnya memainkan peranan sebagai pihak yang menasihati masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam.
“Sekadar buat fatwa kata itu tak boleh ini tak boleh, orang akan kata ulama ini hanya tahu cakap pasal halal dan haram sahaja. Ulama boleh bagi nasihat tetapi bukan menjadi penghukum,” katanya kepada pemberita selepas Muzakarah Pakar Ulama dan Alam Sekitar Kewajaran Fiqh al-Bi’ah, di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa perbuatan mencemarkan alam sekitar dan memberi kesan kemudaratan fizikal secara langsung kepada manusia, haiwan dan tumbuhan adalah haram.
Perkara itu dinyatakan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin apabila memberitahu, ia diputuskan dalam mesyuarat ke-20 dan 21/2016 jawatankuasa tersebut pada 18 dan 19 Februari lepas.
Mengulas lanjut, pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu berkata, golongan agamawan di negara ini seharusnya memainkan peranan dalam isu alam sekitar.
Katanya, ulama perlu menerangkan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar berhubung fatwa yang dikeluarkan dan tidak terus menjatuhkan sesuatu hukum tanpa mengadakan sebarang perbincangan.
“Saya rasa kalau ulama tak campur tak apa (dan) kita (ulama) terangkan kepada Jabatan Alam Sekitar. Saya nak nasihat kepada ulama kalau nak campur (berkenaan isu alam sekitar) ia perlu dengan cara intelek yang tinggi, buat kajian baru berdasarkan Al-Quran dan sunnah,”katanya.
Sementara itu, Mufti Terengganu Datuk Zulkifly Muda berkata, masalah alam sekitar seperti penerbangan hutan dan pengurangan sumber bumi akan mengakibatkan hilangnya keseimbangan alam.
“Isu ini bukan sahaja menjadi permasalahan, ia sering menjadi perbincangan hangat di barat bahkan turut dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat di dunia.
“Dengan kata lain, krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya,” katanya.