
Menterinya,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata alasan yang diberi rakyat Malaysia yang ingin melepaskan kerakyatan kerana telah memperolehi kewarganegaraan negara lain.
Jumlah tersebut diambil kira bermula 2010 sehingga 2016 menyaksikan tahun 2011 sebagai angka paling tinggi rakyat negara ini memilih untuk melepaskan kerakyataan Malaysia iaitu seramai 11,080 orang.
“Berdasarkan bahagian tiga Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua cara penamatan kewarganegaraan Malaysia, sama ada melalui tindakan pelucutan ataupun pelepasan.
“Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), semenjak tahun 2010 hingga 31 Januari 2016 seramai 54,406 orang warganegara Malaysia telah membuat pelepasan kewarganegaraan mereka.
“Alasan pelepasan yang paling banyak digunakan ialah tidak memilih meneruskan menjadi warganegara Malaysia dan telah memperolehi kewarganegaraan negara lain,” katanya menerusi jawapan lisan di Parlimen disini hari ini.
Jelas Zahid, seramai, 10,664 rakyat Malaysia telah melepaskan kewarganegaraan mereka pada tahun 2010 dan ia meningkat kepada 11,080 pada tahun 2011.
Malah, jumlah tersebut berkurangan kepada masing-masing 8,983 dan 6,678 pada tahun 2012 dan 2013. Pada tahun 2014 pula 7,843 rakyat Malaysia melepaskan kewarganegaraan mereka, diikuti 8,076 orang pada 2015.
Bagi bulan pertama tahun 2016 pula, sejumlah 1,102 Malaysia melepaskan kewarganegaraan mereka.
Zahid berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang memilih melepaskan kerakyatan mereka setiap tahun bermula tahun 2010 sehingga 2016.