Deklarasi Rakyat, kini PERKASA pecah dua

Deklarasi Rakyat, kini PERKASA pecah dua

Ia berpunca apabila gambar Presiden, Datuk Ibrahim Ali dalam majlis Deklarasi Rakyat dilihat bersalaman dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang tersebar sekali gus mengundang kecaman pihak pro-UMNO.

syed,ibrahim

KUALA LUMPUR:
Deklarasi Rakyat dikatakan menjadi punca PERKASA berpecah dua apabila sebahagian ahli menyokong Tun Mahathir manakala sebahagian lagi terus bersama kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, ia berpunca apabila gambar Presiden, Datuk Ibrahim Ali dalam majlis Deklarasi Rakyat dilihat bersalaman dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang tersebar sekali gus mengundang kecaman pihak pro-UMNO.

“Ekoran isu itu, ahli-ahli UMNO dalam PERKASA sudah ada dua kem. Sekarang sudah ada ahli UMNO dalam PERKASA umum keluar PERKASA melalui sidang media dan memotong kad keahlian, untuk tunjukkan rasa tidak puas hati kepada Presiden dan kepimpinan PERKASA.

“Ada juga ahli UMNO dalam PERKASA yang menyokong Mahathir dan masih bersama Presiden dan mengancam mahu keluar UMNO dan juga mahu umum melalui sidang media selain mahu potong kad UMNO mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA hari ini.

Sebelum ini, sembilan ahli PERKASA Parlimen Pengkalan Chepa dan 27 ahli PERKASA Parlimen Kapar mengadakan sidang media umum keluar daripada NGO itu dengan memotong kad keahlian mereka.

Pada masa sama, beliau mendakwa PERKASA Parlimen Gombak dan Kuala Langat telah bermesyuarat untuk mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Najib dan akan memanggil Pengerusi kedua-dua kawasan untuk memberikan penjelasan.

Justeru, katanya lagi, PERKASA akan mengeluarkan pekeliling untuk melarang mana-mana ahli PERKASA daripada membuat sidang media berhubung perkara itu tanpa keizinan PERKASA Pusat.

“Saya nak ingatkan, nak keluar kenyataan-kenyataan seumpama ini perlu minta kebenaran Pusat. Kalau nak buat juga, buatlah atas kapasiti sendiri. Ramai sahaja ahli PERKASA yang juga ahli UMNO, mengapa tidak pakai nama UMNO?” katanya lagi.

Beliau menegaskan PERKASA selaku NGO pendesak tidak boleh menyatakan sokongan kepada pihak-pihak tertentu secara menyeluruh, sebaliknya memberikan sokongan berdasarkan isu.

“Apabila sudah umum sokong Najib, kita kena setujulah dengan apa sahaja keputusannya. Kalau begitu, habislah kewibawaan kita selaku NGO pendesak,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.