Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, mereka juga diingatkan agar `tidak menjolok sarang tebuan’ hanya semata-mata berang dengan kehadiran presiden NGO berkenaan yang hadir pada majlis tersebut yang dikepalai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mendakwa, ada menerima aduan daripada beberapa Pengerusi Perkasa peringkat Parlimen yang menghasut pemimpin Umno agar membubarkan Perkasa di Parlimen masing-masing.
“Hanya kerana Datuk Ibrahim dan sesetengah pemimpin Perkasa hadir ke sidang media Deklarasi Rakyat, ada pemimpin-pemimpin Umno sanggup hubungi Pengerusi Perkasa peringkat Parlimen dan pujuk mereka bubarkannya.
“Saya nak ingatkan kepada mereka jangan cuba jolok sarang tebuan, berhenti jadi batu api kepada pimpinan Perkasa peringkat Parlimen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di sini, hari ini.
Katanya lagi, tindakan pemimpin Umno tersebut seolah-olah sengaja mahu mencari perbalahan dengan NGO pendesak Melayu itu.
“Kalau nak sokongan, kena buat baik dengan semua pihak. Ini seperti nak bermusuh dengan Perkasa. Kalau kami tidak dapat kawal ahli yang marah dan nak keluar Umno, siapa yang rugi?
“Perkasa tidak rugi apa-apa kerana tidak bertanding dalam pilihan raya, yang bertanding siapa?” ujarnya tanpa menamakan pemimpin Umno terbabit.
Sebelum ini, Ibrahim mendakwa, kehadirannya ke sidang media Deklarasi Rakyat sengaja diperbesarkan pihak-pihak tertentu, terutama berhubung gambarnya bersama penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kehadirannya dan Ibrahim ke sidang media Deklarasi Rakyat semata-mata kerana menghormati jemputan Dr Mahathir yang selama ini sentiasa menyokong Perkasa.
“Kami sampai lewat, malah, Datuk Ibrahim tak tandatangan pun deklarasi itu,” katanya lagi.
