Tindakan Anis Hidayah selamatkan anjing dipuji pencinta haiwan

Tindakan Anis Hidayah selamatkan anjing dipuji pencinta haiwan

Dia melakukannya secara spontan dan belas kasihannya terhadap haiwan itu sangat terpuji dan dihargai oleh semua pencinta haiwan.

selamatkan-anjing

PETALING JAYA:
Tindakan seorang wanita yang mengangkat seekor anjing untuk diselamatkan selepas dilanggar motosikal memberi mesej kepada semua orang mengenai sifat kasih sayang yang perlu diberikan kepada sesama makhluk.

Itu kata, Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA), Tan Sri Lee Lam Thye mengulas mengenai tindakan Eksekutif Sumber Manusia, Anis Hidayah Mohd Taufik, 34, apabila visual yang menunjukkan dirinya mengalihkan seekor anjing dengan tangannya tanpa beralas menjadi viral di media sosial.

“Dia melakukannya secara spontan dan belas kasihannya terhadap haiwan itu sangat terpuji dan dihargai oleh semua pencinta haiwan,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal.

Menurut Lee, sepanjang menjadi penaung kepada SPCA, beliau giat berkempen untuk mendidik masyarakat supaya menghormati haiwan.

“Kita hidup di bumi yang sama dengan haiwan, jadi saya mahu tekankan kepada generasi muda kepentingan rasa kasih kepada alam termasuk haiwan.

“Jadikan saudari Anis Hidayah ini sebagai contoh dan kita perlukan lebih banyak individu seperti dia dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum,” ujarnya.

Justeru, beliau mahu kisah ini menjadi panduan kepada semua pihak, agar tidak menzalimi haiwan dan mempunyai rasa kasihan serta ingin membantu jika melihat haiwan dilanggar di jalanan.

Video Anis Hidayah itu telah mendapat respon yang positif daripada pengguna alam maya selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook.

Anis Hidayah dalam laporan semalam berkata, dia sebenarnya tidak suka menjadi perhatian, sekaligus tidak menyangka tindakan spontannya itu memberi impak mendalam kepada masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.