Bekas Menteri Penerangan itu mengulas mengenai pengumuman blok ketiga pembangkang yang melibatkan kerjasama PAS dan IKATAN yang diumumkan pada 16 Mac lalu.
“Langkah ini (blok ketiga) memperlihatkan PAS benar-benar berada dalam keadaan “putus asa” sehingga mahu bergantung di dahan yang busuk dan reput,” katanya.
Zainuddin turut menyifatkan IKATAN sebuah parti yang tidak ternama dan tidak mempunyai pengikut malah integriti pimpinannya turut menjadi persoalan masyarakat.
“Khususnya ahli dan pemimpin UMNO sendiri yang pastinya tersenyum kambing dengan pengumuman itu.
“Dari sebuah parti yang dianggap berwibawa untuk membawa mesej perpaduan Islam dan Melayu tetapi sekarang telah hilang kekebalan imejnya ini yang jelas ketika bersendirian.
“Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (Presiden IKATAN) bukan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang walaupun tercalar parah moralnya tetapi masih mempunyai pengikut fanatik yang setia buta kepadanya,” katanya.
Menurutnya, pemilihan PAS untuk bekerjasama dengan IKATAN tidak akan meninggalkan impak yang besar sebaliknya memperkecilkan imejnya sendiri sebagai sebuah parti politik Islam.
