PAS terajui PN, MIC kena bincang semula dengan akar umbi, kata presiden

PAS terajui PN, MIC kena bincang semula dengan akar umbi, kata presiden

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata persoalan sama ada PAS 'parti ekstremis agama' atau tidak bukan isunya, sebaliknya permohonan sertai PN diputus ketika Bersatu terajui gabungan.

vigneswaran
Presiden MIC SA Vigneswaran, berkata perbincangan semula untuk sertai PN dibuat ambil kira perubahan pimpinan PN yang kini diterajui PAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MIC akan membincangkan semula usul menyertai Perikatan Nasional (PN) susulan perubahan pimpinannya, sambil menolak keputusan itu disebabkan status PAS yang dipersoal sebagai ‘parti ekstremis agama’.

Presiden SA Vigneswaran, menjelaskan permohonan menyertai PN dibuat ketika gabungan berkenaan ditunjangi Bersatu, menerusi Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi MIC berpendapat keputusan mesyuarat agung tahun lalu adalah berdasarkan pada pimpinan PN diterajui Bersatu. Sekarang PN diterajui PAS, tapi bukan MIC ada halangan atau ada apa-apa halangan, ia mesti dibawa balik kepada akar umbi balik kerana ada pertukaran pimpinan dalam PN.

“Bukan kita kata parti ekstremis agama atau tak. Ia hanya berdasarkan isu perubahan kepimpinan kerana kita tidak mahu keputusan diambil bercanggah dengan akar umbi,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan memaklumkan, MIC membuat permohonan menjadi anggota gabungan melalui surat dihantar pada 15 Nov 2025 kepada Muhyiddin yang ketika itu pengerusi PN.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, mesyuarat parti di peringkat bahagian dan negeri akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan ini.

“Selepas kita buat keputusan di peringkat tertinggi, ia perlu dipersetujui akar umbi. Oleh itu Majlis Tertinggi berpendapat bahawa ia perlu dibawa balik kepada bahagian dan negeri untuk membuat keputusan.

“Bukan kita tidak setuju atau setuju dengan kepimpinan PAS menerajui PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.