Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), harga bagi sebuah rumah mampu milik tidak boleh melebihi RM200,000, terutama di negeri itu.
“Dasar ini untuk mereka yang memerlukan. RM400,000 bukanlah harga yang mampu milik (untuk golongan berpendapatan rendah). Harga sepatutnya tidak melebihi RM200,000,” kata Presiden SM Mohamed Idris ketika dihubungi.
Beliau berkata lagi, harga yang mampu milik tidak seharusnya menyebabkan kualiti dan keluasan rumah menjadi lebih kecil.
“Selain itu, kawasan perumahan mampu milik mestilah tidak terlalu jauh dengan pusat bandar dan tempat mereka bekerja agar kos pengangkutan tidak terlalu tinggi,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chan Kim Loong pula berpendapat harga rumah mampu milik tidak boleh melebihi RM300,000 di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Di kawasan luar bandar seperti di Kelantan dan Terengganu pula, katanya lagi, harga siling sepatutnya sekitar RM200,000.
“Sebelum ini saya sudah mengkritik PR1MA dan projek yang kononnya perumahan mampu milik kerana terlalu mahal,” katanya ketika dihubungi, sambil menekankan kepentingan akses pengangkutan awam bagi kawasan tersebut.
Pada 17 Mac lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Majlis Perumahan Negara belum menetapkan harga siling bagi rumah mampu milik, sementara menunggu maklum balas daripada kerajaan-kerajaan negeri.
Terdahulu, Abdul Rahman bertelagah dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung harga maksimum rumah mampu milik di negeri itu.
