Banglo murah: Ambiga saran LGE bercuti

Banglo murah: Ambiga saran LGE bercuti

Pemimpin lain melepaskan jawatan untuk sebab yang kurang daripada itu, katanya mengulas siasatan SPRM keatas isu pembelian banglo

S-Ambiga,-Lim-Guan-Eng,-MACC

PETALING JAYA:
Peguam, S Ambiga menyarankan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti sementara pihak berkuasa menyiasat pembelian banglo miliknya.

Meskipun tiada undang-undang yang boleh memaksanya, S Ambiga ketika ditemui pemberita berkata ada pemimpin melepaskan jawatan untuk sebab yang kurang daripada itu.

Ini merupakan amalan pejuang demokrasi, jelasnya.

“Setiap penjawat awam perlu dipertanggungjawabkan,” tambahnya.

Beliau mengambil maklum bahawa Guan Eng mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keatas pembelian itu.

Orang awam hanya perlu “tunggu dan lihat”, katanya.

Pembelian banglo dua tingkat di atas tanah seluas 10,000 kaki persegi di Jalan Pinhorn, George Town pada nilai RM2.8 juta didedahkan di Parlimen minggu lalu.

Ahli Parlimen BN, Shabudin Yahaya berkata nilai untuk rumah seumpama itu adalah diantara RM6 juta kepada RM6.5 juta, maka harga rumah itu adalah dibawah nilai pasaran.

Guan Eng bagaimanapun berkata beliau tidak menyedari nilai pasaran rumah itu.

Seruan Ambiga itu menyusuli seruan G-Pem, sebuah NGO yang mendakwa mewakili 13 kumpulan Melayu. Ketuanya, Mohd Rizuad Mohd Azudin berkata Guan Eng boleh menyambung semula khidmatnya selepas namanya dibersihkan SPRM.

Ambiga berkata demikian seusai acara tandatangan Deklarasi Rakyat oleh individu-individu baharu, termasuk pengasas Lawyers for Liberty, Eric Paulsen dan aktivis Bantah TPPA, Azlan Awang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.