Krisis Timur Tengah: Guan Eng gesa suntikan RM5 bilion selamatkan PKS

Krisis Timur Tengah: Guan Eng gesa suntikan RM5 bilion selamatkan PKS

Ahli Parlimen Bagan berkata peruntukan itu penting bagi menyelamatkan 100,000 PKS yang kini berdepan risiko gulung tikar akibat krisis di Timur Tengah.

kilang
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia jangka pertumbuhan KDNK tahun ini boleh menyederhana kepada antara 3.8% hingga 4.2% sekiranya konflik Asia Barat memuncak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menyediakan peruntukan RM5 bilion bagi menawarkan pinjaman tanpa faedah dan cagaran kepada 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini berdepan risiko gulung tikar akibat krisis di Timur Tengah.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata bantuan segera itu penting bagi menyelamatkan perniagaan tempatan daripada tekanan kos logistik, ketidaktentuan harga bahan mentah serta gangguan rantaian bekalan yang semakin meruncing.

Beliau memberi amaran bahawa ancaman Iran untuk menaikkan harga minyak sehingga USD200 setong sekiranya Selat Hormuz ditutup akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.

“Kini adalah masanya untuk kerajaan bertindak segera melaksanakan dasar bantuan kewangan bagi menyelamatkan kelangsungan operasi PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim Guan Eng.

Lim memetik amaran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bahawa pertumbuhan KDNK negara bagi tahun 2026 boleh menyederhana kepada antara 3.8% hingga 4.2% sekiranya konflik tersebut memuncak, berbanding unjuran Bank Negara Malaysia iaitu pada kadar 4% hingga 5%.

Dalam pada itu, bekas menteri kewangan itu turut mencadangkan pelaksanaan moratorium pembayaran faedah pinjaman bank sehingga akhir tahun ini serta penangguhan kenaikan cukai dan kos peraturan.

Ini termasuk kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois, serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% bagi pekerja asing yang bermula akhir tahun lalu.

Menurut Lim, sektor perbankan mula memberi amaran mengenai tekanan kewangan yang semakin meningkat dalam kalangan peminjam meskipun nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) negara kekal sihat pada paras 1.4% setakat Januari lalu.

“Persatuan PKS Malaysia sebelum ini telah memohon moratorium pinjaman secara bersasar bagi membantu syarikat yang terjejas akibat peningkatan kos operasi,” katanya.

Presiden FMM Jacob Lee pada 17 Mac lalu, dilaporkan berkata, peningkatan konflik di laluan strategik seperti Selat Hormuz mencetuskan risiko segera kepada sektor perkilangan Malaysia melalui lonjakan kos pengangkutan dan kelewatan penghantaran.

Beliau memberi amaran bahawa gangguan rantaian bekalan serta kenaikan kos pengeluaran berkaitan tenaga akan terus menghimpit margin keuntungan pengilang sekiranya ketegangan tersebut berlarutan.

Katanya, pengilang Malaysia mungkin terpaksa berdepan dengan kos input lebih tinggi yang akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan pengguna sekiranya tiada langkah intervensi diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.