DAP pun ada pemimpin ‘rasis’ tapi bisu sebab jawatan, Guan Eng dibidas

DAP pun ada pemimpin ‘rasis’ tapi bisu sebab jawatan, Guan Eng dibidas

Ahli MKT Umno Nur Jazlan Mohamed berkata pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham kini memilih mendiamkan diri selepas berada dalam kerajaan.

nur jazlan mohamed
Ahli MKT Umno Nur Jazlan Mohamed berkata Penasihat DAP Lim Guan Eng perlu ‘cermin diri’ terlebih dahulu.
PETALING JAYA:
Penasihat DAP Lim Guan Eng digesa ‘cermin diri’ terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada Umno kerana partinya sendiri memiliki ‘pemimpin lantang perkauman yang kini membisu’ demi jawatan dalam kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nur Jazlan Mohamed, memetik pemimpin utama DAP seperti Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham yang dulunya sangat lantang membela nasib masyarakat Cina namun kini memilih mendiamkan diri selepas berada dalam blok kerajaan.

“DAP pun ada suara lantang probangsa Cina macam Nga dengan Ngeh yang sekarang diam kerana menikmati nikmat pegang jawatan dalam kerajaan. Begitu juga RSN Rayer yang lantang memperjuangkan kepentingan kaum India dan Hindu.

“Sekarang, dalam kerajaan mereka boleh berdiam diri, tapi saya tidak hairan tak lama lagi apabila dekat pilihan raya, akan hidup semula sifat dalaman mereka yang lama terpendam itu,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Lim menerusi satu kenyataan membidas Khairy Jamaluddin dan Umno dengan menyifatkan mereka mempamerkan sikap ‘progresif palsu’ kerana mempertahankan politik ‘perang budaya’ dan gaya kontroversi Dr Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan turut menyifatkan kelantangan ketua Pemuda Umno itu tidak menghairankan dalam landskap politik hari ini yang dipacu media sosial untuk meraih populariti dengan cepat.

“Kita menuju ke arah pilihan raya yang sama, dan di zaman media sosial jangka pendek sekarang, siapa yang kontroversial boleh meraih keuntungan politik lebih,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT Razlan Rafii menyelar Lim kerana didakwa masih terbelenggu dengan acuan politik perkauman lama walaupun negara sudah jauh melangkah ke hadapan.

Katanya, dinamika politik negara sebenarnya mudah di mana sebarang tindak balas daripada pejuang perlembagaan hanya akan tercetus jika ada pihak yang cuba mengusik garis panduan asal Persekutuan Tanah Melayu.

“Pemimpin seperti Lim Guan Eng masih terbelenggu dengan budaya politik bangsa. Walaupun negara telah pergi jauh membangun, beliau masih memainkan politik kononnya memperjuangkan bangsa Cina.

“Bukan hanya Akmal dan KJ, rakyat juga melihat Lim (Guan Eng) masih memainkan politik bangsa sehingga ramai yang menolak DAP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.