‘Daulat Tuanku’, Adun DAP junjung titah Sultan Selangor

‘Daulat Tuanku’, Adun DAP junjung titah Sultan Selangor

Wong Siew Ki berkata amat menghormati serta sentiasa mematuhi prinsip Rukun Negara demi kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.

Seri Kembangan assemblyman Wong Siew Ki
Adun DAP Wong Siew Ki menjunjung tinggi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sambil menegaskan prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Dalam kenyataan di Facebook, Adun DAP itu berkata beliau amat menghormati serta sentiasa mematuhi prinsip tersebut demi kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.

“Patik menjunjung tinggi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi, dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin menyarankan Wong dan bekas exco Selangor Ronnie Liu hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara.

Ini supaya kedua-duanya menjadi rakyat yang tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

Wong dikecam selepas mencadangkan penternakan babi di Selangor dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.

Manakala, Liu pula menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Wong turut menyenaraikan lima prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

“Patik amat menghormati dan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan patik demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan lafaz ‘Daulat Tuanku’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.