Sultan Selangor saran Adun DAP, bekas exco hayati Rukun Negara

Sultan Selangor saran Adun DAP, bekas exco hayati Rukun Negara

Sultan Sharafuddin Idris Shah gesa Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Ronnie Liew membaca plak Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat Dataran Selangor yang menempatkan plak Rukun Negara. (Gambar Facebook Selangor Royal Office)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu supaya hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.

Menurut Baginda, langkah itu penting supaya mereka menjadi rakyat yang memahami adab kesopanan dan kesusilaan selain menghormati institusi Raja.

“Beta sarankan datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara supaya menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut berpesan kepada semua semua Adun di Selangor supaya hadir ke Dataran Selangor membaca Rukun Negara pada plak terbabit sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

Wong dari DAP menerima kecaman selepas mencadangkan penternakan babi di Selangor dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.

Sementara itu, Liu pula menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati supaya mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut.

Bekas Adun Pandamaran dan Sungai Pelek itu keluar DAP pada Jun 2023.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, plak monumen itu dibina dan dipasang Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala keseluruhan kos pembinaan dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri.

Titahnya, pembinaan monumen itu bertujuan mengimbas kembali sejarah kelahiran Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang membawa kepada pengisytiharan darurat dan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

“MAGERAN yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di Negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.