Jelajah Belia Rukun Negara libat 15 IPT terpilih

Jelajah Belia Rukun Negara libat 15 IPT terpilih

Program Jelajah Belia Rukun Negara 2026 akan dilaksana dari Mei hingga Oktober.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang kata Jelajah Belia Rukun Negara untuk memperkukuh perpaduan, patriotisme dan jati diri.
KUALA LUMPUR:
Program Jelajah Belia Rukun Negara 2026 akan dilaksana dari Mei hingga Oktober ini melibatkan 15 institusi pengajian tinggi terpilih, dalam usaha memperkukuh perpaduan, patriotisme dan jati diri belia.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata program itu dilaksanakan menerusi pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman, bagi memperkukuh penghayatan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

“Usaha ini turut memberi penekanan terhadap pembinaan nilai, integriti dan jati diri belia sebagai asas memperkukuh perpaduan serta pembinaan negara bangsa,” katanya di Facebook.

Beliau turut menyertakan infografik mengenai program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, yang menyasarkan penyertaan belia berumur 18 hingga 30 tahun.

Setiap siri program akan berlangsung selama dua hari satu malam dengan pengisian berteraskan empat tema utama iaitu ‘Kenapa dan Mengapa’, ‘Menjunjung Rukun Negara’, ‘Meraikan Kepelbagaian’ serta ‘Pembinaan Nilai dan Jati Diri’.

Menurut infografik itu, tema berkenaan memberi fokus kepada pemahaman nasionalisme dan kepentingan Rukun Negara sebagai asas perpaduan negara selain menghayati serta mengamalkan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Ia turut menekankan penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan serta pembentukan nilai, integriti dan jati diri berteraskan semangat patriotisme.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.