Kementerian Perpaduan nafi SKN terkait IFC, rumah ibadat haram

Kementerian Perpaduan nafi SKN terkait IFC, rumah ibadat haram

Kementerian menegaskan cadangan berkait Suruhanjaya Keharmonian Nasional tidak akan menyentuh atau ubah perkara asas Perlembagaan Persekutuan.

kementerian perpaduan negara logo 7226
Kementerian Perpaduan Negara menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi memastikan setiap pandangan dinilai secara menyeluruh.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara menegaskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) bukan berkaitan isu rumah ibadat tidak berdaftar dan penjenamaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Kementerian itu menyifatkan dakwaan dibangkitkan pihak tertentu sebagai bersifat manipulatif dan mengelirukan masyarakat.

Katanya, sesi libat urus sedang dijalankan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) hanyalah proses awal untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan kebimbangan pelbagai pihak sebelum sebarang pertimbangan lanjut dibuat kerajaan.

Menurutnya, sesi itu bukan platform membuat keputusan muktamad dan semua pandangan diterima akan direkod serta diteliti secara objektif dan profesional.

“Sekiranya dapatan sesi libat urus tidak menunjukkan keperluan atau kesesuaian, proses cadangan penggubalan juga boleh dihentikan.

“Asas ini perlu difahami secara jelas dan matang oleh semua pihak,” menurut kenyataan.

Semalam, pendakwah Firdaus Wong dalam hantaran di media sosialnya meminta penjelasan KPN sama ada SKN adalah penjenamaan IFC yang dibantah pada awal 2000.

Beliau juga mempersoalkan sama ada suruhanjaya itu akan menjadi pintu belakang bagi ‘menghalalkan’ rumah anutan haram.

KPN turut memberi jaminan, sebarang cadangan berkaitan SKN tidak akan menyentuh atau mengubah perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kuasa Mahkamah Syariah, institusi Raja-raja Melayu, hak Melayu dan Bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut kenyataan itu, sesi libat urus akan dijalankan secara bersiri melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, pertubuhan Islam, Ahli Parlimen, parti politik dan kerajaan negeri bagi memastikan setiap pandangan dinilai secara menyeluruh.

Bagi sesi NGO 1.0, sebanyak 78 pertubuhan dijemput termasuk kumpulan Islam, pertubuhan antara agama, Badan Peguam dan organisasi masyarakat sivil antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Christian Federation of Malaysia, Malaysia Hindu Sangam dan Persatuan Buddhist Malaysia.

KPN berkata, cadangan penubuhan SKN memberi fokus kepada pendekatan pencegahan konflik, mediasi, pendamaian dan penyelesaian pertikaian secara harmoni, bukan semata-mata bersifat menghukum.

Katanya, suruhanjaya itu juga dicadangkan mempunyai fungsi menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian nasional, mengemukakan syor tindakan kepada kerajaan dan mengendalikan proses mediasi secara rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.