1PD1Produk perkasa perpustakaan desa sebagai nadi komuniti

1PD1Produk perkasa perpustakaan desa sebagai nadi komuniti

Inisiatif itu fokus kepada penghasilan sekurang-kurangnya satu produk, perkhidmatan atau identiti unik di setiap perpustakaan desa dengan potensi untuk dikomersialkan.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata perpustakaan desa perlu berfungsi sebagai pusat komuniti yang bukan sahaja menyatukan masyarakat tetapi platform pembangunan ekonomi setempat yang mampan.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara terus memperkasa peranan perpustakaan desa sebagai pusat pengupayaan komuniti melalui pelaksanaan program 1 Perpustakaan Desa 1 Produk (1PD1Produk).

Inisiatif menerusi Perpustakaan Negara Malaysia itu memberi fokus kepada penghasilan sekurang-kurangnya satu produk, perkhidmatan atau identiti unik di setiap perpustakaan desa, dengan potensi untuk dikomersialkan sekali gus merancakkan ekonomi luar bandar.

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata perpustakaan desa perlu berfungsi sebagai pusat komuniti yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi turut menjadi platform pembangunan ekonomi setempat yang mampan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 488 produk dikenal pasti di seluruh negara, merangkumi makanan tradisional, kraftangan, hasil pertanian dan perkhidmatan berasaskan pengalaman tempatan.

“Produk makanan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 296, diikuti perkhidmatan (128), kraftangan (56) dan pertanian (8).

“Bagi taburan negeri, Negeri Sembilan mencatatkan rekod tertinggi dengan 60 produk, diikuti Kedah (59), Sabah (48) dan Perak (44). Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan negeri dalam memperkukuh peranan perpustakaan desa sebagai pusat pembangunan komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setiap produk dikenal pasti berdasarkan kekuatan dan identiti setempat dengan maklumat setiap produk direkodkan secara sistematik termasuk nama, kategori, lokasi dan pengusaha, bagi tujuan promosi melalui program komuniti, pameran, media sosial serta kerjasama strategik bagi meluaskan pasaran usahawan kecil.

“Secara keseluruhan program 1PD1Produk memberi impak positif melalui peningkatan keterlihatan produk tempatan, sokongan kepada usahawan kecil serta pengukuhan hubungan antara perpustakaan desa dan komuniti, selain memperkukuh identiti lokaliti serta mencipta nilai tambah kepada pembangunan setempat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.