
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran, yang merasmikan acara itu, semalam, berkata penganjuran majlis berkenaan menjadi simbol penting kepada perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum dalam negara.
“Merasmikan satu malam yang cukup bermakna, meraikan keindahan budaya, warisan dan nilai perpaduan yang menyatukan kita semua.
“Malam ini membuktikan hubungan antara Malaysia dan India terus utuh, berteraskan rasa hormat, persefahaman dan persahabatan yang sekian lama terjalin,” katanya di Facebook.
Majlis turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy.
Dalam pada itu, Yuneswaran berkata pelbagai persembahan kebudayaan dipertontonkan berjaya memukau hadirin, termasuk demonstrasi yoga berirama dan tarian klasik Bharatanatyam yang menggambarkan kekayaan warisan budaya India.
“Malaysia adalah kekuatan dalam kepelbagaian. Kita bukan sekadar hidup bersama, tetapi kita berkembang bersama. Semoga semangat perpaduan ini terus dipupuk demi masa depan negara yang lebih harmoni dan bersatu,” katanya.