
Sambil mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada penganut Buddha dalam negara, beliau berkata, tema sambutan peringkat kebangsaan tahun ini “Mendepani Era Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama” membawa mesej amat signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Dalam dunia digital hari ini, perpaduan bukan lagi hanya diuji di dunia nyata, tetapi juga di media sosial. Satu hantaran mampu menyatukan masyarakat, namun satu fitnah juga mampu merosakkan keharmonian negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, cabaran era digital ialah penyebaran kebencian, berita palsu, ekstremisme dan budaya menghukum tanpa berasaskan fakta.
Sehubungan itu, tegasnya, nilai Madani seperti hormat, ihsan dan kemampanan sosial perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian, termasuk penggunaan media sosial.
“Apa yang kita tulis, kongsi dan komen mencerminkan tahap kematangan masyarakat kita. Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjadi ejen perpaduan, bukan penyebar kebencian.
“Rakyat Malaysia perlu menjadi masyarakat digital yang matang, berfikir sebelum berkongsi, menyemak sebelum percaya dan menghormati walaupun berbeza pandangan.”
Beliau berkata, kerajaan percaya dialog antara agama merupakan asas penting dalam memperkukuh perpaduan negara kerana ia platform terbaik untuk membina kefahaman, merapatkan jurang dan memupuk rasa hormat antara masyarakat pelbagai kaum serta agama.
Jelasnya, Malaysia dibina atas kekuatan menerima dan meraikan kepelbagaian yang menjadi tunjang kepada keharmonian serta kestabilan negara.
Hari Wesak yang disambut esok merupakan hari suci terpenting bagi penganut Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama, iaitu pengasas agama Buddha.