Lau rayu PN kekal perpaduan susulan perbalahan PAS-Bersatu

Lau rayu PN kekal perpaduan susulan perbalahan PAS-Bersatu

Presiden Gerakan beri amaran gabungan pembangkang itu akan rebah, sekalipun tanpa serangan luar, jika ia tidak sehaluan.

Presiden Gerakan Dominic Lau (tiga dari kiri) berkata, perpecahan dalaman hanya akan membawa kepada kekalahan PN.
PETALING JAYA:
Presiden Gerakan Dominic Lau merayu agar perpaduan dalam Perikatan Nasional (PN) dikekalkan, ketika PAS sedang mempertimbangkan memutuskan hubungan dengan rakan gabungannya, Bersatu.

Lau berkata, PN mampu berdepan dengan seteru luar, namun perpecahan dalaman hanya akan membawa kepada kekalahan gabungan pembangkang itu.

“Kalau kita bersatu, kita jadi kuat. Kalau kita berpecah, musuh tidak perlu menyerang pun kita sudah tumbang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan pengerusi PN itu berkata demikian ketika Bersatu dan PAS terus bersengketa, yang mendorong parti Islam itu menilai semula kerjasamanya dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin.

Presiden PAS Hadi Awang berkata, partinya sedang mempertimbangkan untuk bertanding pada PRU akan datang tanpa Bersatu, sebagai respons terhadap beberapa siri tindakan yang tidak dipersetujui mereka.

Beliau memetik beberapa isu yang mengeruhkan hubungan kedua-dua parti, termasuk perkembangan di Perlis, dakwaan wujud campur tangan dalam pelantikan membabitkan Kedah dan Kelantan, serta bantahan Bersatu terhadap kemasukan parti Melayu-Islam baharu ke dalam PN.

Hadi turut mendakwa jentera akar umbi Bersatu lemah pada pilihan raya lepas namun masih menuntut jumlah kerusi yang banyak, walaupun jentera PAS yang melakukan sebahagian besar kerja di lapangan.

Susulan itu, Bersatu menyuarakan rasa kesal terhadap kenyataan Hadi, dan menyatakan bahawa beliau sepatutnya membangkitkan perkara itu secara dalaman melalui Majlis Tertinggi PN.

PAS dijangka mengadakan mesyuarat minggu ini bagi membuat keputusan mengenai perkara itu, sebelum merujuknya kepada pimpinan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.