Ketegangan PAS-Bersatu, Afif bangkit semula gesaan tubuh Majlis Presiden PN

Ketegangan PAS-Bersatu, Afif bangkit semula gesaan tubuh Majlis Presiden PN

Pemimpin Bersatu berkata majlis itu boleh menjadi saluran dalaman bagi mengelakkan pertikaian terbuka PN.

Mesyuarat MT PN samsuri mokhtar
Ketika ini keputusan berkait Perikatan Nasional dibuat menerusi majlis tertingginya yang kali terakhir bermesyuarat 16 Mei lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebih tiga bulan tanpa sebarang perkembangan, seorang pemimpin Bersatu membangkitkan kembali gesaan supaya Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) segera ditubuhkan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Afif Bahardin, membuat gesaan itu ketika hubungan gabungan tersebut kembali ‘berkocak’ selepas Presiden PAS Hadi Awang, Jumaat lalu memberi kata dua kepada Bersatu termasuk mengkaji semula hubungan.

Menurut Adun Taman Templer itu, selain mesyuarat Majlis Tertinggi PN, segala isu berbangkit boleh dibincangkan menerusi majlis presiden dan diselesaikan secara harmoni menerusi saluran dalaman tanpa menimbulkan perdebatan terbuka.

“Penubuhan Majlis Presiden PN wajib disegerakan,” katanya kepada FMT.

Januari lalu, media memetik sumber dalaman Bersatu, melaporkan suatu persetujuan dicapai dalam pertemuan antara pemimpin PAS dan Bersatu sebelum ini, yang mana Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan diberi peranan sebagai ‘pengerusi majlis presiden’, manakala pemimpin PAS pula akan mengetuai tugas pentadbiran.

Cadangan itu timbul susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN ketika krisis politik di Perlis menyaksikan pentadbiran menteri besar disandang PAS beralih kepada Bersatu.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik menggantikan Muhyiddin.

Selain Hadi dan Muhyiddin, Majlis Presiden PN turut dianggotai Presiden Gerakan Dominic Lau serta Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan.

Hadi pada Jumaat memberi amaran kepada Bersatu kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN dengan membangkitkan kemelut termasuk di Negeri Sembilan dan Perlis.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan pendirian terbaru Bersatu yang didakwa tidak bersetuju dengan usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke dalam PN turut menjadi isu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan, ketiadaannya susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang mendakwa disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Bersatu menerusi biro politiknya semalam menafikan dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.