
Ramlah, dipanggilnya dengan gelaran penuh kasih sayang sebagai ‘omak’ – dialek Negeri Sembilan bagi ibu – menghembuskan nafas terakhir pada 31 Dis lalu, beberapa bulan sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101.
Bagi Makhanderan yang telah pun mengebumikan kedua-dua ibu bapa kandungnya, kehilangan Ramlah dirasai seolah-olah dia sekali lagi kehilangan ibunya.
Menjelang Hari Ibu kali ini, kehilangan dirasai terasa amat perit. Bertahun lamanya, Makhanderan sentiasa memastikan dia membeli hadiah untuk Ramlah bagi meraikan hari istimewa itu.
“Sampai hari ini, saya masih berasa sedih. Kadang-kadang, air mata jatuh,” katanya kepada FMT Lifestyle.
Apa yang menjadikan hubungan mereka luar biasa adalah hakikat Makhanderan dan Ramlah berbeza bangsa dan agama.
Namun, sekiam lama mereka membina ikatan melangkaui pertalian darah. Berpaksikan kebaikan, kepercayaan, dan kasih sayang yang tulus, hubungan keduanya mencerminkan keindahan sebenar masyarakat majmuk di Malaysia.
Kisah mereka mula menarik perhatian umum melalui satu video TikTok dimuat naik anak lelaki Ramlah, pakar ekonomi Shazali Abu Mansor, pada Mei tahun lalu.
Video tersebut memaparkan Makhanderan dan Ramlah sedang berbual, sambil menikmati hidangan bersama, sehingga menyentuh hati ramai rakyat Malaysia dengan kemurnian hubungan mereka. Setakat ini, video itu telah meraih 1.4 juta tontonan.
Jauh sebelum kisah mereka menyentuh hati warga maya, ikatan mereka sebenarnya telah pun terjalin selama bertahun-tahun. Makhanderan mula mengenali Ramlah pada lewat 1990-an ketika dia mula membantu melakukan kerja rencam di sekitar rumah sewaktu anak-anak Ramlah sedang bekerja.
Waktu berlalu, dia mula memanggilnya dengan gelaran ‘omak’ dan menganggapnya sebagai ‘mak angkat’.

Memandangkan tempat kerja Makhanderan terletak berdekatan rumah Ramlah di Tampin, Negeri Sembilan, menziarahinya sudah menjadi rutin biasa. Sebelum masuk bekerja, dia sering singgah ke rumahnya untuk bersarapan bersama – biasanya menu roti canai yang sangat digemari warga emas itu.
Katanya, Ramlah sangat gemar menonton berita dan sering berbual dengannya mengenai isu semasa. “Dia suka bercakap pasal kenaikan harga barang keperluan harian,” kata Makhanderan, 54.
Selain daripada menemani sarapan, dia turut membantu menjaga rumahnya dengan memotong rumput, membersihkan parit, dan pelbagai kerja lain. Kadangkala, dia juga akan memasak rendang untuk Ramlah dengan menggunakan resipi wanita itu sendiri.
“Kenangan paling manis bagi saya adalah ketika makan bersama dan berbual dengannya,” katanya. Walaupun sudah beberapa bulan, dia masih menghintung hari sejak ‘omak’ pergi meninggalkannya. Dia juga sering menziarahi kubur Ramlah.
Dia menyifatkan Ramlah sebagai seorang yang jujur, penyayang, dan pemurah, sambil mengenang kembali bagaimana wanita itu pernah membantunya dari segi kewangan untuk pendidikan anak-anaknya – satu jasa yang masih terpahat kemas di sanubarinya.
Tetapi, lebih daripada itu, Ramlah turut memberikan sesuatu yang telah lama hilang daripada hidupnya bertahun-tahun – iaitu kasih seorang ibu. Tambahnya, perbezaan bangsa dan agama antara mereka tidak pernah menjadi penghalang kepada hubungan teristimewa itu.
“Arwah menunjukkan kasih sayang kepada semua, tak kira latar belakang mereka.”
Makhanderan juga membesar dengan sikap terbuka yang sama terhadap orang ramai daripada pelbagai latar belakang.

Dibesarkan di Kampung Melekek Luar, Melaka, dia dan adik-beradiknya sering dijaga seorang jiran berbangsa Melayu, sewaktu ibu bapa mereka keluar bekerja sebagai penoreh getah.
“Dia akan bantu menyiapkan kami untuk ke sekolah kerana ibu saya perlu keluar bekerja pada 4 pagi. Selepas sekolah, dia akan menjaga kami sehingga ibu kami pulang ke rumah,” katanya.
Jirannya itu akhirnya menjadi seorang lagi ‘mak angkat’ dalam hidupnya. Bertahun lamanya, Makhanderan menganggap tiga orang wanita Melayu – termasuk Ramlah – sebagai ibu angkatnya.
Namun tahun ini, sambutan Hari Ibu terasa cukup berbeza. Kenangan bersama Ramlah sering kali menjelma – waktu sarapan yang dikongsi bersama, perbualan mereka, dan kelibat mesra yang dahulunya setia menunggu kepulangannya di rumah di Tampin itu.
Namun, di sebalik kesedihan, terselit juga rasa syukur. “Omak mengajar saya pentingnya menjadi seorang yang rendah diri, ikhlas, jujur, dan amanah,” katanya.
“Bertuah saya kerana kenal omak.”