Sarawak contoh perpaduan berasaskan kepelbagaian

Sarawak contoh perpaduan berasaskan kepelbagaian

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata Sarawak mencatat skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional 2025 dengan 0.791.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang ketika merasmikan Kanowit Cultural Festival (KCF) Siri 1 2026 di Kanowit Waterfront.
PETALING JAYA:
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata kepelbagaian etnik, budaya dan agama menjadi asas kekuatan sosial yang membentuk keharmonian serta kestabilan masyarakat di Sarawak.

Beliau berkata Sarawak kini diiktiraf sebagai contoh pembangunan inklusif yang berteraskan perpaduan, kebersamaan etnik dan keharmonian rakyat.

“Ini membuktikan bahawa asas perpaduan di Sarawak adalah kukuh dan berdaya tahan hasil budaya hidup bermasyarakat yang menekankan nilai kebersamaan dan saling menghormati,” katanya ketika merasmikan Kanowit Cultural Festival (KCF) Siri 1 2026 di Kanowit Waterfront.

Aaron berkata dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menunjukkan Sarawak mencatat skor tertinggi di negara ini iaitu 0.791.

“Keputusan ini wajar dijadikan rujukan dalam memperkukuh perpaduan di peringkat nasional,” katanya.

Menurutnya, Sarawak mempunyai lebih 27 kumpulan etnik serta lebih 30 bahasa dan dialek, sekali gus menjadikannya antara negeri paling unik di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata kejayaan Sarawak dalam bidang pendidikan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga hijau dan teknologi hidrogen membuktikan kepelbagaian mampu menjadi pemacu kemajuan negeri.

“Hari ini, Sarawak berdiri sebagai antara wilayah paling pesat membangun di Malaysia,” katanya.

Aaron turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperluaskan program dialog antara agama bagi meningkatkan persefahaman dan mengelakkan salah faham dalam masyarakat.

“Dialog dan forum perlu terus diperkasa sebagai medan penyatuan, bukan perpecahan,” katanya.

Beliau turut memuji pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Sarawak yang disifatkannya mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap keharmonian masyarakat pelbagai agama.

Sementara itu, Aaron berkata penganjuran KCF buat julung kali diadakan bagi memelihara dan memperkukuh adat serta warisan etnik selain menjana sosioekonomi komuniti setempat menerusi penjualan produk tempatan.

Festival berlangsung dari 8 hingga 31 Mei itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk Bazar Gawai, upacara Niti Daun, pertandingan Betaboh dan Ngajat serta Pekit Kumang.

Beliau berharap KCF dapat dimasukkan ke dalam Kalendar Acara di bawah Lembaga Pelancongan Sarawak sebagai acara ikonik Kanowit, seiring dengan Pesta Kanowit yang dianjurkan setiap Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.