Warga emas mangsa ke-4 rabies di Sarawak tahun ini

Warga emas mangsa ke-4 rabies di Sarawak tahun ini

Lelaki berusia 63 tahun itu digigit anak anjing pada Februari dan meninggal dunia pada 3 Mei lalu.

anjing-dog
Sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017, sebanyak 94 kes membabitkan manusia direkodkan dengan 87 daripadanya membawa maut.
KUCHING:
Sarawak merekodkan satu lagi kematian akibat rabies melibatkan seorang lelaki warga emas dari Bintulu, menjadikan jumlah kes dalam kalangan manusia meningkat kepada empat bagi tahun ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan memaklumkan mangsa, yang berusia 63 tahun, meninggal dunia pada 3 Mei selepas disahkan dijangkiti rabies.

“Mangsa mempunyai sejarah digigit anak anjing pada pertengahan Februari lepas namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Mangsa hanya mencuci luka dengan air dalam tempoh kurang daripada lima minit sebelum pulang ke rumah tanpa mendapatkan suntikan vaksin atau rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan mangsa mula mengalami kelemahan anggota badan serta enggan minum air pada 26 April lepas sebelum dibawa ke Hospital Bintulu pada hari yang sama, dan ujian makmal mengesahkan warga emas berkenaan dijangkiti rabies.

“Siasatan mendapati faktor risiko utama bagi kes ini ialah kelewatan mendapatkan rawatan selepas digigit haiwan.

“Anjing yang menggigit juga tidak pernah menerima vaksinasi dan status jangkitan rabies haiwan tersebut tidak dapat dipastikan,” katanya.

Sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017, sebanyak 94 kes membabitkan manusia direkodkan dengan 87 daripadanya membawa maut, menjadikan kadar kematian akibat penyakit itu mencecah 92.6%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.