
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu menyasarkan belia berusia 18 hingga 30 tahun dan dilaksanakan dari Mei hingga Oktober 2026.
Berlangsung dua hari satu malam, program itu dirangka berdasarkan empat tema utama, iaitu ‘Kenapa dan Mengapa;, ‘Menjunjung Rukun Negara’, ‘Meraikan Kepelbagaian’ serta ‘Pembinaan Nilai dan Jati Diri’.
Tema itu menumpukan kepada sejarah dan kepentingan Rukun Negara, penghayatan nilainya dalam kehidupan harian, penghargaan terhadap kepelbagaian kaum, agama, budaya dan wilayah, serta pembentukan integriti, patriotisme dan tanggungjawab belia.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu bertujuan memastikan Rukun Negara tidak hanya menjadi ikrar yang dilafazkan, sebaliknya difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Rukun Negara bukan sekadar ikrar dilafazkan, tetapi falsafah hidup perlu difahami, dihayati dan diamalkan setiap rakyat Malaysia khususnya generasi muda,” katanya.

Beliau berkata melalui jelajah itu, kementerian mahu mendekatkan prinsip kenegaraan berkenaan kepada belia dengan pendekatan lebih interaktif, segar dan sesuai dengan realiti kehidupan mereka hari ini.
“Generasi muda perlu melihat Rukun Negara bukan sebagai warisan lama semata-mata, tetapi sebagai panduan untuk membina masyarakat yang bersatu, bertoleransi dan berjati diri,” katanya.
Aaron berkata pendekatan berasaskan pengalaman penting bagi memastikan nilai Rukun Negara lebih mudah difahami, terutama di kalangan belia yang hidup dalam ekosistem maklumat pantas, terbuka dan dipengaruhi media sosial.
Katanya, cabaran globalisasi dan ledakan maklumat tanpa sempadan menuntut usaha lebih tersusun bagi memperkukuh nilai perpaduan, identiti nasional dan jati diri generasi muda.
“Dalam dunia dipengaruhi media sosial dan ledakan maklumat tanpa sempadan, nilai Rukun Negara perlu menjadi sauh kepada belia supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan naratif sempit yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Aaron berkata Rukun Negara perlu berfungsi sebagai asas perpaduan negara bagi memastikan masyarakat, khususnya belia, tidak hilang arah dalam arus perubahan, selain menjadi benteng kepada polarisasi sosial dan krisis identiti.
Beliau berkata, usaha menghidupkan semula penghayatan Rukun Negara turut digerakkan melalui penekanan terhadap lafaz penuh ikrar Rukun Negara bersama mukadimah “Cita-cita”.
Menurutnya, mukadimah itu penting kerana mengandungi falsafah besar pembinaan negara, termasuk hasrat melahirkan masyarakat bersatu, adil, progresif dan demokratik.
Ikrar Rukun Negara juga pernah dilafazkan secara rasmi di Parlimen Malaysia buat pertama kali selepas lebih lima dekad, sebagai simbol bahawa prinsip itu bukan sekadar retorik, tetapi kompas moral negara.
Selain Jelajah Belia Rukun Negara, kementerian turut melaksanakan beberapa inisiatif lain seperti Citra Negaraku, Modul Rukun Negara di Tabika Perpaduan, Gerak Integrasi Perpaduan, Pidato Rukun Negara dan Debat Perpaduan.
Aaron berkata jelajah itu bukan sekadar program kesedaran, sebaliknya usaha strategik memastikan Rukun Negara terus hidup, difahami dan diamalkan dalam jiwa generasi pewaris negara.
Katanya, matlamat akhirnya ialah memastikan Rukun Negara tidak hanya dihafal, tetapi dihayati; tidak hanya disebut, tetapi diamalkan; dan tidak hanya diwarisi, tetapi diadaptasi sebagai cara hidup rakyat Malaysia.
“Rukun Negara mesti terus menjadi panduan bersama dalam membina masa depan negara bangsa yang lebih bersatu, stabil dan berdaya tahan,” katanya.