KPN himpun 5,405 manuskrip Melayu, perkasa warisan ilmu negara

KPN himpun 5,405 manuskrip Melayu, perkasa warisan ilmu negara

Menteri Aaron Ago Dagang berkata manuskrip Melayu juga asas penting dalam pembentukan peradaban negara bangsa yang perlu dipelihara sebagai warisan ilmu tidak ternilai.

perpustakaan
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerusi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) giat mengumpul manuskrip Melayu sebagai usaha pemuliharaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Usaha memelihara manuskrip Melayu terus diperkukuh menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), dengan 5,405 naskhah berjaya dihimpunkan setakat ini sebagai sebahagian khazanah intelektual negara yang mencerminkan ketamadunan, pemikiran dan jati diri bangsa.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata manuskrip Melayu bukan sekadar bahan sejarah, sebaliknya asas penting dalam pembentukan peradaban negara bangsa yang perlu dipelihara sebagai warisan ilmu tidak ternilai.

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang.

Katanya, penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) menjadi langkah penting dalam usaha mendokumentasi, memelihara dan mengangkat warisan bertulis bangsa agar terus kekal relevan sebagai sumber ilmu serta rujukan generasi akan datang.

“Manuskrip Melayu ialah asas kepada pembentukan jati diri dan peradaban negara bangsa, yang wajar dipelihara sebagai warisan ilmu yang tidak ternilai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Aaron, kepentingan manuskrip Melayu tidak boleh dipandang ringan kerana kandungannya merangkumi pelbagai bidang ilmu, termasuk perubatan tradisional, undang-undang, kesusasteraan, pentadbiran, pertanian dan gastronomi.

Antara manuskrip Melayu utama yang menjadi rujukan ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Hukum Kanun Melaka, Taj al-Salatin serta pelbagai manuskrip berkaitan perubatan dan adat istiadat Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, PNM melalui PKMM melancarkan Buku Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana Perpustakaan Negara Malaysia, di Ipoh, Perak, semalam sempena Sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara.

Penerbitan buku itu adalah hasil penyelidikan dari April 2024 hingga Oktober 2025 menerusi kerjasama strategik antara PNM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ditulis Salmah Jan Noor Muhammad.

Buku berkenaan menghuraikan ilmu gastronomi Melayu berdasarkan sumber utama manuskrip Melayu dalam koleksi PNM, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada masyarakat memahami warisan makanan tradisional menerusi sumber autentik dan berautoriti.

Gastronomi Melayu, menurut kenyataan itu, bukan sekadar seni memasak, tetapi mencerminkan sistem ilmu yang merangkumi resipi tradisional, teknik penyediaan, penggunaan bahan tempatan, peralatan dapur serta nilai budaya yang diwarisi turun-temurun.

Pada masa sama, kementerian turut mempergiat usaha membudayakan amalan membaca menerusi kempen Jom Baca 10 Minit Setiap Hari yang membawa tema “Membaca Membina Bangsa”, selaras aspirasi menjadikan Malaysia negara pembaca menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.