
Menurut Kementerian Perpaduan Negara, jumlah besar tersebut merangkumi anggaran 2.5 juta bahan yang diterima melalui Akta Penyerahan Bahan (Akta 331), serta 5,405 naskhah koleksi manuskrip yang kini diangkat sebagai khazanah warisan intelektual negara yang berharga.
“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing serta mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembaca menjelang 2030,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Bagi menuruti peredaran zaman dan memperkukuh inisiatif pendigitalan, PNM kini turut menawarkan 1,014,356 koleksi digital yang boleh diakses secara percuma oleh orang awam.
Koleksi maya tersebut disepadukan melalui 18 pangkalan data menerusi platform u-Pustaka, bagi membolehkan rakyat mengakses bahan bacaan pada bila-bila masa dan dari mana jua lokasi.
Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar langkah menghimpunkan khazanah ilmu negara, malah menjadi wadah memperkasa budaya membaca, menyemai pemikiran kritis serta membentuk masyarakat yang berinformasi dan berdaya maju.
“Segala usaha ini merupakan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam memastikan akses kepada ilmu diperluas secara inklusif dan saksama demi membina sebuah masyarakat yang berpengetahuan, bersatu padu dan progresif,” katanya.