506 perpustakaan desa di seluruh negara dekatkan rakyat dengan ilmu

506 perpustakaan desa di seluruh negara dekatkan rakyat dengan ilmu

Perpustakaan desa anjur lebih 50,000 program galakan membaca, tarik penyertaan lebih sejuta orang.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, perpustakaan desa perlu terus dijadikan pusat pembelajaran sepanjang hayat, tempat pertemuan sosial, serta platform pembangunan minda.
PUTRAJAYA:
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus memperkukuh peranan perpustakaan desa sebagai ruang interaksi rakyat yang inklusif, dinamik dan berteraskan ilmu dengan 506 buah perpustakaan beroperasi di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, perpustakaan desa terus memainkan peranan penting dalam mendekatkan rakyat dengan sumber ilmu dan aktiviti berasaskan komuniti melalui penganjuran 50,615 program galakan membaca.

“Program ini telah menarik penyertaan mencecah lebih 1.4 juta orang, tahun lepas. Pencapaian ini membuktikan bahawa perpustakaan desa kekal relevan sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat berilmu dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata, pencapaian itu turut selari dengan aspirasi kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh perpaduan melalui perkongsian ilmu.

Beliau berkata, budaya membaca perlu dipupuk bermula dari institusi keluarga dan diperkukuhkan di peringkat komuniti.

“Perpustakaan desa menjadi jambatan yang menghubungkan kedua-dua elemen ini, sekali gus menyemai minat membaca sejak usia muda dan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, KPN akan terus komited memperkasakan perpustakaan desa sebagai hab komuniti yang menyatukan rakyat, memperluas akses kepada ilmu dan menyokong matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030.

Menurutnya, perpustakaan desa perlu terus dijadikan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, tempat pertemuan sosial, serta platform pembangunan minda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.