Kementerian Perpaduan perkenal modul perkasa nilai insaniah, adab

Kementerian Perpaduan perkenal modul perkasa nilai insaniah, adab

Menteri Aaron Ago Dagang berkata, modul itu dibangunkan secara komprehensif sebagai rujukan utama kepada penjawat awam, selain masyarakat umum.

multiracial kaum merdeka
Kepelbagaian agama dan budaya merupakan aset terbesar negara, jadi asas kepada kekuatan dan kestabilan nasional, menurut Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan Modul Pendayaupayaan Keharmonian Merentas Agama dan Budaya sebagai inisiatif berterusan bagi memperkasa penerapan nilai insaniah, adab serta budi pekerti dalam kalangan masyarakat.

Kementerian memaklumkan modul tersebut akan diperkenalkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Dalam usaha berterusan memperkukuh pemahaman antara agama di negara ini, kerajaan Madani menekankan komitmen yang teguh untuk memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara dan diperkasakan,” katanya dalam kenyataan.

“Malaysia sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama, kaum dan etnik. Kepelbagaian ini bukan sekadar realiti sosial, malah merupakan aset terbesar negara yang menjadi asas kepada kekuatan dan kestabilan nasional.”

Dalam kenyataan sama, Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang berkata, modul itu dibangunkan secara komprehensif sebagai rujukan utama kepada pegawai agensi kerajaan, selain boleh dimanfaatkan oleh sektor swasta serta masyarakat umum.

Katanya, ia dirangka dengan pendekatan yang lebih dinamik dan berimpak tinggi melalui penggunaan kaedah komunikasi yang inklusif serta sensitif budaya.

“Modul ini turut menekankan elemen latihan praktikal berasaskan situasi sebenar dalam komuniti bagi memastikan kefahaman yang lebih mendalam serta aplikasi yang berkesan di lapangan.

“Prinsip ‘Faham, Hormat, Terima dan Meraikan’ pula perlu dijadikan panduan dalam kehidupan seharian rakyat sebagai teras kepada pembinaan integrasi nasional yang utuh,” katanya

Aaron berkata, setiap individu memainkan peranan penting sebagai ejen perpaduan dalam membina masyarakat yang saling memahami, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.