Usaha gubal RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi digerak semula

Usaha gubal RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi digerak semula

Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan langkah tersebut berlatarkan peningkatan polemik yang boleh menggugat keharmonian kebelakangan ini.

multiracial
Sesi libat urus bersama pelbagai pihak dimulakan dalam usaha ke arah menggubal RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, kata Menteri Aaron Ago Dagang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara menggerakkan semula usaha ke arah menggubal Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN), berlatarkan peningkatan polemik yang boleh menggugat keharmonian kebelakangan ini.

Menteri Aaron Ago Dagang berkata cadangan baharu akan memberi penekanan pada pendekatan pencegahan dan pendamaian, dengan tumpuan pada usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian secara harmoni dan konstruktif.

“Kementerian akan meneliti agar suruhanjaya ini berupaya menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan untuk memberi keterangan, serta mengeluarkan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan dan agensi berkaitan.

“Suruhanjaya ini juga dijangka berperanan mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam, tertakluk kepada had tertentu demi kepentingan keselamatan negara,” menurut kenyataan.

Bagi tujuan penggubalan tersebut, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak pada bulan ini.

Sesi itu akan diteruskan secara inklusif dengan penglibatan agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, komuniti setempat serta pemegang taruh, katanya.

Kenyataan ini menyahut cadangan aktivis masyarakat dan bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Lee Lam Thye, berhubung penubuhan sebuah suruhanjaya sebagai badan berkanun bebas bagi melindungi serta memperkukuh keharmonian antara etnik dan agama.

Bulan lalu, Majlis Peguam menggesa kerajaan mewujudkan ‘kerangka keharmonian nasional’ bagi menangani pertikaian sensitif melalui proses undang-undang yang jelas dan tersusun.

Ketiadaan kerangka keharmonian nasional menyebabkan pihak berkuasa sering terpaksa menangani pertikaian sensitif secara reaktif, kata Persiden Ezri Abdul Wahab.

Dalam pada itu, Aaron menerangkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara menyediakan RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, dan RUU SKRN pada 2015.

Pada 2019, RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama ditolak kerana terdapat pertindihan dengan peruntukan undang-undang sedia ada, dan cadangan peruntukan berkaitan disyorkan untuk dimasukkan dalam Kanun Keseksaaan.

RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional juga ditolak pada tahun sama kerana prinsip larangan diskriminasi telah pun termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan.

“Manakala cadangan penubuhan SKRN dipersetujui pada dasarnya pada 2019, namun pelaksanaannya tertangguh berikutan isu pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan polis.

“Seterusnya, pada April 2020, kerajaan memutuskan bahawa cadangan tersebut tidak diteruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.