
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata garis panduan dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Menurutnya, draf itu merangkumi tiga komponen utama iaitu mekanisme perancangan, mekanisme pembangunan dan mekanisme pelaksanaan rumah ibadat bukan Islam.
“Draf itu telah dibentangkan sebagai kertas makluman dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-87 pada 12 Mac lalu.
“Ia seterusnya akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menjelaskan pemakaian garis panduan itu dijangka memperkukuh mekanisme perancangan serta pelaksanaan pembangunan rumah ibadat bukan Islam.
“Pelaksanaan garis panduan ini dijangka lebih telus, sistematik dan berstruktur, sekali gus meningkatkan keberkesanan koordinasi antara kerajaan, agensi dan masyarakat.
“Ia juga diharap dapat memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan sokongan padu daripada kerajaan negeri,” katanya.
GPP RIBI dibangunkan menggantikan Garis Panduan Perancangan Tokong, Kuil, Gereja dan Gurdwara yang diguna pakai sejak 2009.
Sementara itu, Aaron berkata kementerian turut memperhalusi penubuhan 12 Pusat Mediasi Komuniti baharu melibatkan 10 negeri serta Kuala Lumpur dan Labuan.
“Pusat ini akan menyediakan perkhidmatan mediasi tanpa bayaran bagi membantu menyelesaikan konflik komuniti seperti pertikaian kejiranan, gangguan bunyi dan masalah parkir,” katanya.
Menurutnya, pendekatan mediasi membolehkan konflik kecil diselesaikan secara damai sebelum menjadi lebih serius.
“Ia juga membantu mengurangkan beban kos kepada pihak yang terlibat serta menggalakkan penyelesaian secara harmoni,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) sebagai platform integrasi nasional.
“PRISMA akan memperkukuh pengurusan isu perpaduan secara lebih menyeluruh, proaktif dan berasaskan data,” katanya.